Kes penipuan guna aplikasi Telegram masih berlaku

Kes penipuan guna aplikasi Telegram masih berlaku

JABATAN Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor menyiasat 39 kes penipuan melalui penyamaran sebagai rakan atau individu tertentu melalui aplikasi Telegram sejak 1 Januari hingga 27 April lalu.

Ketua JSJK Johor Asisten Komisioner Amran Md Jusin, berkata berdasarkan statistik itu kes penipuan berkenaan telah mengakibatkan kerugian sebanyak RM259,450.

Menurutnya, jumlah kes dan kerugian itu bagaimanapun menurun berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu 75 kes dengan kerugian RM462,368.

“Walaupun menunjukkan trend penurunan, namun kes sedemikian masih berlaku dan seterusnya mengakibatkan kerugian kepada mangsa.

“Modus operandi sindiket penyamaran ini adalah dengan melakukan pengodaman ke atas akaun telegram milik mangsa dan seterusnya menghubungi senarai rakan mangsa yang diperolehi dari Telegram untuk meminjam wang dengan menggunakan gambar profile mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA LAGI: Polis cari pemandu Myvi masuk lorong motosikal

Beliau berkata, pemilik akaun sebenar Telegram berkenaan hanya menyedari apabila akaun miliknya tidak dapat diakses atau menerima panggilan daripada kenalan berhubung kesahihan pinjaman yang ingin dibuat.

“JSJK Johor ingin berkongsi beberapa tips bagi mengelak dari menjadi mangsa penipuan sedemikian iaitu jangan mudah percaya mesej untuk meminjam wang, hubungi kenalan untuk pengesahan dan aktifkan penetapan pin keselamatan ‘two step verification’.

“Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599 atau guna aplikasi Semak Mule untuk menyemak nombor akaun bank dan nombor telefon mencurigakan,” katanya. – Malaysiapost

Komen