Najamuddin Mohd Nor
MEMENDAM perasaan selama dua tahun tidak dapat berhari raya seperti lazimnya, peluang menyambut Aidilfitri tahun ini pastinya tidak akan dilepaskan perantau-perantau di kota pulang ke desa meraikannya.
Selain menggunakan kenderaan sendiri, pengangkutan awam seperti bas dan kereta api menjadi alternatif untuk pulang ke destinasi masing-masing.
Tinjauan Malaysiapost di Stesen Keretapi Kuala Lumpur menyaksikan warga kota tetap menjadikan kereta api sebagai pilihan untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri kali ini.
Bagi Fatin Nabilah, dia dan suami lebih selesa menaiki perkhidmatan tren elektrik (ETS) untuk pulang ke Kangar, Perlis.
Menurutnya, sebaik sahaja mendengar pengumuman kerajaan bahawa tahun ini orang ramai diberikan kelonggaran untuk berhari raya di kampung halaman susulan transisi negara ke fasa endemik, dia tanpa berlengah telah menempah dua tiket secara atas talian.

“Saya membeli tiket secara ‘online’ bila dapat tahu tahun ini kita dibenarkan balik kampung berhari raya, sebelum puasa lagi dah beli sebab takut tiket habis,” katanya tersenyum kepada Malaysiapost.
Ditanya kenapa memilih keretapi sebagai kenderaan untuk pulang ke Kangar, dia yang bertugas sebagai guru di salah sebuah sekolah di ibu negara itu menjelaskan, keselesaan sepanjang perjalanan menyebabkan dia dan suami menaiki ETS.
“Selain masa perjalanan yang cepat, cuma 5 jam sahaja, saya dan suami menjangkakan kali ini kesesakan di lebuh raya akan lebih teruk lagi, tak sanggup nak hadap jem terlalu lama.
“Lagipun dah biasa pulang ke Kangar naik ETS selama ini. Kampung saya jauh, selain jimat masa, ia juga jimat tenaga dan yang penting selamat daripada insiden seperti terbabit dalam kemalangan jalan raya,” katanya.
Manakala bagi Nizam Ahmad pula berkata, dia memilih ETS untuk pulang ke Pendang kerana nak merasai pengalaman pertama menggunakannya.

“Saya kampung di Pendang, jadi saya akan turun di Alor Setar. Saja nak rasa pengalaman, ini kali yang pertama. Biasanya saya naik kereta sendiri balik kampung.
“Lagi satu saya jangka kali ini lebuh raya akan alami kesesakan teruk memandangkan ramai yang ambil peluang, balas dendam balik kampung setelah dua tahun tidak dapat berhari raya di kampung. Jadi saya elakkannya dan pilih ETS ini, lebih selesa dan selamat,” katanya.
Terdahulu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan tiket perkhidmatan tren masih berbaki 89,976 melibatkan perjalanan 23 April hingga 8 Mei ini.
BACA LAGI: Trafik sesak arah Utara, Selatan dan Pantai Timur
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, baki tiket berkenaan melibatkan perjalanan ke utara, timur dan selatan.
Menurutnya, jumlah baki tiket itu turut melibatkan tiket ETS tambahan dari KL Sentral ke Padang Besar dengan keseluruhan tiket yang ditawarkan sebelum ini berjumlah 244,502.
Bagi tren Ekspres Khas Keluarga Malaysia dari KL Sentral-Tumpat pula telah habis dijual. – Malaysiapost