Op Pagar Laut berjaya kumpul nilai rampasan RM10.6 juta
SEMPENA musim perayaan tahun ini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan operasi khas iaitu Op Pagar Laut bermula 19 April lalu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Datuk Mohd Zubil Mat Som, berkata sehingga kini operasi berkenaan telah berjaya membuat sebanyak 32 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, operasi berkenaan juga berjaya mengumpul hasil rampasan yang bernilai lebih kurang RM10.6 juta.
“Operasi khas ini adalah bagi mengukuhkan kawalan keselamatan dengan meningkatkan kesiapsiagaan aset laut dan udara, keanggotaan serta penguatkuasaan terutamanya di setiap titik panas (hot spots) seluruh negara sempena musim perayaan.
“Ia menumpukan kepada semua aktiviti jenayah rentas sempadan terutama kes pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang- barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Polis buru lelaki onani
Beliau berkata, Maritim Malaysia tidak akan ‘mengendurkan’ kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara.
“Sebarang maklumat kegiatan jenayah maritim boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim (POMAR) di talian 03-89434001 atau mana-mana Pusat Operasi Maritim (PUSOP) yang berhampiran di setiap Maritim Negeri seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost