Pejabat Perdana Menteri santuni bekas pengamal media
MENJELANG sambutan Hari Raya Aidilfitri, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri berkesempatan menyantuni bekas pengamal media khususnya mereka yang uzur.
Kunjungan yang diketuai oleh Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abdul Kadir menziarahi bekas jurugambar Utusan Malaysia, Ghazali Basri di Taman Jati, Rawang, Selangor, semalam.
Memetik laporan Bernama Ghazali, 53, yang mempunyai enam anak disahkan mengidap dimensia sejak beberapa tahun lalu dan tidak mampu bekerja.
Dia yang hilang mata pencarian selepas Kumpulan Utusan ditutup 2019 hanya mengharapkan dua anaknya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Hadir sama dalam kunjungan itu adalah, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri, Azmi Tarmizi dan Pegawai Khas Media dan Komunikasi Strategik kepada Perdana Menteri, Azran Fitri Rahim.
BACA LAGI: Naik kereta api elak harungi sesak pulang beraya
Turut diziarahi keluarga Allahyarham Datuk Baharom Mahusin dan Allahyarham Datuk Jalil Ali dimana kedua-dua mereka adalah bekas Ketua Pengarang Sinar Harian.
Dalam masa sama, Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Kelab Media Putrajaya telah menyalurkan sumbangan kepada 30 orang pengamal dan bekas pengamal media yang kurang berkemampuan di seluruh negara. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik