WORLD Muslim Communities Council mahu Malaysia jadi model pimpin kesatuan ummah

WORLD Muslim Communities Council mahu Malaysia jadi model pimpin kesatuan ummah

WORLD Muslim Communities Council meletakkan harapan tinggi kepada Kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan ummah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu dinyatakan Pengerusi pertubuhan tersebut, Dr Ali Rashid Al Nuaimi kepadanya pada Persidangan Antarabangsa “Kesatuan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran”.

Persidangan anjuran World Muslim Communities Council itu berlangsung di Abu Dhabi semalam.

“Teruja dan gembira menerima jemputan daripada Dr Ali Rashid sebelum selesai persidangan untuk hari pertama yang cukup padat.

“Kami beramah mesra dan saling bertukar-tukar pandangan. Dr Ali Rashid menyampaikan sekalung tahniah atas ucapan yang saya sampaikan.

“Dr Ali Rashid meletakkan harapan tinggi kepada kerajaan Malaysia untuk menjadi model memimpin kesatuan Ummah khususnya dalam konteks masyarakat majmuk yang menekankan kesederhanaan dan toleransi dalam bermasyarakat,” katanya.

Idris berkata, Dr Ali Rashid turut mendoakan agar kerajaan Malaysia terus makmur dan harmoni yang selama ini menjadi rujukan negara umat Islam seluruh dunia.

Terdahulu dalam ucapannya, Idris menerangkan konsep “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera” yang menjadi lambang komitmen kerajaan Malaysia kepada kesatuan dan perpaduan umat.

Menurutnya, perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia.

“Beberapa saranan yang telah disampaikan antaranya mewujudkan perbincangan yang aktif dalam kalangan negara Islam untuk membina wehdatul fikr, wehdatul amal.

“Menggerakkan badan-badan Islam bersama agensi-agensi kerajaan bagi membincang dan mewujudkan Pelan Tindakan Perpaduan Ummah Negara dan Dunia.

“Selain memastikan perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa berpaksikan kepada Islam sebagai agama di sisi Allah,” katanya.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahayan bin Mabarack. – Malaysiapost

Komen