LZS puji penerima zakat mohon henti bayaran setelah hidup stabil 

LZS puji penerima zakat mohon henti bayaran setelah hidup stabil 

BANTUAN zakat disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan sangat membantu lebih-lebih lagi ketika ramai yang terkesan akibat pandemik Covid-19. 

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam hantaran di Facebook, berkongsi kisah seorang individu memaklumkan ingin keluar daripada senarai penerima bantuan zakat setelah kehidupan kini kian stabil. 

Dalam hantaran itu, LZS berkata individu itu pada mulanya terpaksa memohon zakat atas faktor kesihatan dan perlu menjalani pembedahan esofagus serta dikehendaki berehat daripada bekerja atas nasihat doktor. 

“Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pembaiki barangan elektronik berpendapatan sekitar RM1,300 menanggung tiga anak dan seorang isteri yang tidak bekerja. 

“Seperti biasa, Zakat Selangor akan membuat semakan semula setiap tahun untuk setiap asnaf bagi melihat kelayakan, sama ada perlu buat penambahan bantuan terhadap mereka sekeluarga atau tidak. 

“Tapi alangkah terkejut kami, apabila dimaklumkan sendiri oleh beliau bahawa beliau ingin keluar daripada Zakat Selangor kerana beliau sudah stabil dan menyatakan ada yang lebih layak menerima zakat berbanding beliau,” menurut hantaran itu. 

Dalam masa sama, LZS menzahirkan rasa syukur dapat membantu penerima zakat itu dan keluarganya sepanjang beliau tidak bekerja. 

Katanya, perwatakan individu itu patut menjadi contoh kepada penerima bantuan yang lain agar lebih jujur dan merendah diri. 

“Semoga Allah permudahkan dan suburkan rezeki beliau sekeluarga sepanjang zaman atas sifat jujur yang beliau tunjukkan. Moga menjadi teladan buat kita semua,” katanya. – Malaysiapost

Komen