PAS beri banyangan enggan bekerjasama dengan pemimpin ‘kluster mahkamah’

PAS beri banyangan enggan bekerjasama dengan pemimpin ‘kluster mahkamah’

PAS memberi bayangan parti itu enggan bekerjasama dengan pemimpin Umno yang terpalit kes mahkamah dan telah dibuktikan bersalah. 

Ketua Penerangan PAS Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, parti itu juga bertekad memperjuangkan penyatuan ummah melalui wadah politik dan berteraskan Islam. 

“PAS juga bertegas tidak akan bersama dengan mereka yang dibuktikan bersalah melakukan tindakan pecah amanah, salah guna kuasa serta mengamalkan rasuah dalam kepimpinan mereka. 

“Agenda Penyatuan Ummah yang dibawa oleh PAS adalah berteraskan kepada prinsip Islam Memimpin, Keadilan untuk Semua (termasuk kepada musuh) dan Ummah sebagai Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum serta agama yang tidak ekstrim melawan Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Untuk rekod, Datuk Seri Najib Razak adalah pemimpin Umno yang terpalit dengan kes mahkamah dan telah disabitkan bersalah. 

Manakala Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpalit dengan kes mahkamah dan perbicaraan kesnya masih berjalan. 

Khairil Nizam juga menegaskan, PAS memberi jaminan, agenda penyatuan ummah akan diteruskan walaupun Presiden Umno menolak secara total agenda penyatuan ini. 

“Untuk pemimpin Umno yang masih yakin bahawa PAS dan Umno adalah tawaran terbaik buat rakyat Malaysia, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan untuk teruskan agenda ini. 

“Agenda ini adalah agenda kita bersama untuk kesejahteraan dan kegemilangan Keluarga Malaysia,” katanya. 

BACA LAGI: Hamzah dakwa tindakan ‘keluar-masuk’ parti perkara biasa 

Hubungan Umno dan PAS yang bertaut kembali pada 14 September 2019 menerusi piagam Muafakat Nasional (MN) semakin menuju kehancuran apabila kedua-dua parti itu tidak sehaluan berkaitan dengan prinsip politiknya. 

Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 telah membuat ketetapan bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan akan bertanding atas tikat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Namun PAS yang merupakan parti kompenen Perikatan Nasional (PN) sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2019 sering melaungkan parti itu akan memperkasakan PN dan mempertahankan MN walaupun meletakkan calonnya bertanding menentang BN pada PRN di Melaka dan Johor. 

Terbaharu, Ahmad Zahid menyifatkan MN seperti tidak wujud lagi lantaran sikap PAS seperti talam dua muka yang tidak selari dengan tindakan dan keputusan dibuat parti itu. – Malaysiapost

Komen