Rafizi, Saifuddin tolak agenda ‘Khemah Besar’

Rafizi, Saifuddin tolak agenda ‘Khemah Besar’

PKR mahu pun Pakatan Harapan (PH) perlu menolak agenda ‘khemah besar’ yang mahu menyatukan kesemua parti pembangkang untuk menentang Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penolakan agenda berkenaan dipersetujui dan senada oleh dua calon Timbalan Presiden PKR yang menegaskan PH perlu berbuat demikian untuk mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan PKR berkata, agenda tersebut tidak pernah dibincang Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

“Februari 2020, kerajaan PH jatuh kerana mungkir janji dan pengkhianatan. Rakyat yang menyokong kecewa dan keliru. PH tak jatuh melalui penolakan rakyat, sebaliknya sejumlah Ahli Parlimen khianat dan meninggalkan parti.

“Pada ketika kedudukan PH dan blok pembangkang berjumlah 109 bererti kurang tiga untuk bentuk majoriti mudah. Kita baru jadi kerajaan.

“Hari ini , tajuk khemah besar tidak pernah menjadi agenda dalam PKR. Tak pernah dibincang, tak pernah jadi agenda biro politik. Tak pernah jadi agenda dalam MPP,” katanya.

BACA LAGI: PAS tolak ‘khemah besar’ kerana di dalamnya ada tikus dan kucing – Hadi

Perkara sama turut ditegaskan bekas Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli yang mencabar Saifuddin bagi jawatan tersebut.

Rafizi adalah pemimpin PKR yang lantang dan dari awal tidak bersetuju dengan agenda khemah besar itu, mengulangi pendiriannya dalam program forum yang dianjurkan oleh Sinar Harian hari ini.

Menurut Rafizi, idea khemah besar hanya akan mengakibatkan PKR tidak dapat memainkan fungsi utamanya kepada rakyat.

“Strategi untuk masuk ke pilihan raya itu setakat ini hanyalah strategi khemah besar iaitu untuk berunding dengan parti-parti yang lain dengan harapan kita dapat mengabungkan sokongan pelbagai parti ini.

“Itu akan menyebabkan kita lari daripada fungsi utama kita sebagai gagasan politik iaitu membentangkan, menyelesaikan dan menyakinkan rakyat bahawa kita bukan sahaja ada idea untuk menyelesaikan masalah besar tadi tetapi kita juga ada kepimpinan yang cekap dan berkebolehan untuk melaksanakan idea itu sekiranya kita menang.

“Kalau kita terus berunding itu bermakna kita terpaksa memeluk kembali watak-watak yang sebelum ini kita kritik dan dibenci oleh rakyat dan dalam proses kita memeluk kembali itu ia akan melunturkan kepercayaan rakyat kepada kita,” tegas Rafizi. – Malaysiapost

Komen