5 rentung nahas dekat Terowong Menora

5 rentung nahas dekat Terowong Menora

LIMA rentung apabila kereta dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan dua treler di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, selepas Terowong Menora, Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 tengah malam itu, semua mangsa terperangkap selepas berlaku kebakaran melibatkan dua kenderaan terbabit.

Punca kejadian dan identiti semua mangsa masih belum diperoleh setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria ketika dihubungi berkata, setakat jam 4 pagi, kerja-kerja mengeluarkan mangsa masih dilakukan.

“Lima mangsa yang rentung merupakan pemandu dan penumpang kereta dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata, kereta jenis yang belum dikenal pasti itu terbakar 90 peratus.

“Treler membawa muatan besi terbabit turut mengalami kebakaran 90 peratus, begitupun pemandu kenderaan berat itu dilaporkan selamat,” katanya.

Operasi menyelamat turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Kamunting dan Ipoh. – Malaysiapost

Komen