Debat: Anwar dah lama tunggu, Najib tak sabar ‘bertinju’ 

Debat: Anwar dah lama tunggu, Najib tak sabar ‘bertinju’ 

BUAT pertama kali, dua figura politik berpengaruh, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bersemuka dalam sesi debat yang akan disiarkan secara langsung malam ini.

Bekas Perdana Menteri keenam dan Ketua Pembangkang itu bakal bertembung satu lawan satu di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di ibu negara, jam 9 malam. 

Ia bakal dihadiri kira-kira 400 penonton. 

Bagaimanapun pertembungan kedua-dua pemimpin itu bukanlah bagi menghuraikan mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) atau soal moral mana-mana pihak. 

Sebaliknya ia akan menyentuh dua perkara utama iaitu sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya. 

Anwar mendengar taklimat daripada Haslina semalam, menjelang debat dengan Najib malam ini.

Kedua berkaitan masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara. 

Debat bersejarah malam ini akan dikendalikan moderator, Haslina AR Kamaludin. 

Media melaporkan, Haslina, bekas wartawan Sinar Harian yang kini bersama Malaysia Gazette menjelaskan debat melibatkan dua topik besar dan empat pusingan.  

Ia dimulakan dengan mukadimah, diikuti penghujahan, soal jawab dan penggulungan. 

“Untuk mukadimah dan penggulungan setiap seorang akan diberi masa empat minit. Untuk hujah dan menjawab soalan tiga minit diperuntukkan bagi setiap satu. 

“Hanya Najib dan Anwar akan berada di atas pentas. Tidak ada pembantu lain,” kata Haslina. 

Najib memuatnaik gambarnya seakan bersedia untuk bertinju di Facebooknya hari ini.

Bagi mengamalkan konsep kebebasan bersuara dan demokrasi, tambah Haslina, penonton diberi ruang untuk bertanyakan soalan kepada kedua-dua pendebat. 

Namun tegasnya, audien tidak dibenar untuk bersorak, bertepuk tangan dan ‘boo’ kepada pendebat sebelum, ketika dan selepas perbahasan. 

Ia bagi memastikan hujah serta emosi pendebat tidak terganggu, selain tidak mencetus sebarang provokasi yang mana polis turut dijemput untuk mengawal keadaan. 

Tiada juri, dan mana-mana pihak juga tidak akan diumumkan sebagai pemenang pada akhir debat yang dijangka berlangsung selama kira-kira sejam 30 minit. 

Sebelum ini Anwar memaklumkan, beliau sudah sekian lama meminta berdebat dengan Najib ketika Ahli Parlimen Pekan itu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.  

“Tahun 2008 diwakilkan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek debat sebab harga minyak. Sekarang kalau saya tolak kata saya pengecut.   

“Saya terima dah kata mengangkat kedudukan Najib. Jadi apa yang harus saya lakukan? Dengar debat esok..,” katanya dalam hantaran video di Instagram.  

Sementara itu di pihak Najib, Pengerusi Lembaga Penasihat BN itu secara berseloroh memuat naik gambarnya digimnasium seolah-olah bersedia untuk ‘bertinju’ malam ini. 

“Ready. Jumpa di gelanggang,” tulis Najib ringkas. – Malaysiapost

Komen