Kestabilan politik, tadbir urus negara yang baik antara topik debat Najib, Anwar

Kestabilan politik, tadbir urus negara yang baik antara topik debat Najib, Anwar

KESTABILAN politik perlu menjadi formula untuk negara kembali bangkit dalam mendepani kelembapan ekonomi dan cabaran inflasi yang melanda negara ketika ini, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, kestabilan itu juga membolehkan kerajaan merangka pelbagai dasar dan melaksana pelbagai projek mega yang akan memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Kita perlu rancangan jangka panjang. Kalau asyik tukar kerajaan, kita tidak ada masa. Inilah yang amat diperlukan oleh negara sekarang.

“Saya yakin kita ada kekayaan, kita cukup sumber untuk angkat darjat kita ke tahap lebih baik,” katanya dalam Program Debat Perdana bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan secara langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) malam ini.

Beliau turut bersetuju dengan Anwar apabila berbicara soal ketelusan dan memerangi rasuah.

“Kalau kita buat projek infra untuk rakyat pun, kita buat tender terbuka dan MRT (Transit Aliran Massa) contohnya, bila kita buat tender terbuka ia siap lebih awal,” katanya.

Beliau berkata, projek infra rakyat mesti diteruskan kerana ia boleh menjana pendapatan kepada negara, sekali gus membangunkan semula ekonomi pasca pandemik COVID-19 serta membuka peluang pekerjaan buat rakyat.

“Tapi ini semua premisnya apa, kestabilan politik. Jangan ulang balik empat tahun lepas, tiga kerajaan, tiga Perdana Menteri. Tak mungkin orang ada keyakinan pada negara kalau tidak ada kestabilan, apatah lagi untuk jamin masa depan,” katanya.

Sementara itu, mengulas topik sama, Anwar berkata, perkara utama yang mesti diselesaikan adalah tadbir urus yang betul oleh kerajaan.

“Saya yakin permulaan dengan pengurusan. Orang mual dengan politik sekarang dengan percaturan perebutan dan pemunggahan kekayaan oleh pimpinan.

“Oleh demikian, kita harus bawa keyakinan baharu bahawa politik dan pimpinan tidak lari daripada amanah dengan membersihkan diri daripada rasuah.

“Masalah rasuah, salah guna wang negara dan sebagainya, ini tidak terkait dengan satu dua orang, tetapi masalah ini mesti ditangani,” katanya. – Malaysiapost

Komen