Penyatuan Ummah: Jangan bersikap ‘telunjuk lurus kelingking berkait’

Penyatuan Ummah: Jangan bersikap ‘telunjuk lurus kelingking berkait’

AHLI Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan, meningatkan pemimpin politik Islam supaya tidak bersikap ‘telunjuk lurus Kelingking berkait’ dalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu penyatuaan ummah.

Beliau berkata, muktakhir ini banyak kenyataan yang menyentuh mengenai penyatuan umah dikeluarkan daripada pelbagai pihak, namun ada antaranya yang dilihat hanya menimbulkan perbalahan berpanjangan.

“Namun perlu diperbaiki kenyataan itu agar tidak diselit elemen menyalahkan pihak lain dan menimbulkan ketegangan yang tidak sudah.

“Jangan menulis atau berucap dengan rasa marah dan panas. Rasa puas hati boleh membidas, rasa bangga boleh memukul lawan dan seronok mengungkap kesilapan mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau yang juga Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata, keadaan itu tidak akan berkesudahan kerana pihak yang dibidas akan membuat kenyataan balas bagi mempertahankan diri.

“Ia akan mengundang kenyataan balas untuk mempertahankan diri. Maka, sampai bila?

“Justeru itu, semua pihak mesti ‘cool and steady’. Buka lembaran baharu. Cipta rekod baharu. Bina masa depan yang baharu.

“Lakukan tajdid (penbaharuan) dan taghyir (perubahan) ke arah politik Islam berwajah Malaysia yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi gesaan meminta pihak berkaitan supaya berhenti berbalas serangan di media kerana tindakan itu hanya merugikan umat Islam.

“Berkelahi ditengah balai, disaksikan oleh jutaan masyarakat termasuk non muslim, hanya mempamerkan sudut negatif terhadap Islam.

“Tidak bosan kah kita asyik berkelahi sesama umat sepanjang zaman? Tidak rindukah kita pada kedamaian dan ketenangan?,” soalnya.

Nasrudin turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terperangkap dalam permainan musuh Islam dengan menggunakan media upahan mereka untuk melaga-lagakan pemimpin politik umat Islam.

“Sangat diketahui bahawa sebahagian media mempunyai ‘warlord’ yang mengatur rencana mereka.

“Jangan terpedaya lalu percaya, bertindak dan mengulas hanya berdasarkan olahan dan ulasan media yang dipengaruhi oleh warlord ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan pemimpin politik Islam bertemu segera dalam suasana mahabbah (berkasih sayang) dan semangat menyatukan ummah.

“Meskipun berbeza ideologi politik, kita masih ada asas untuk bersatu. Apatah lagi yang beza itu hanya sedikit sedang yang sama itu banyak.

“Paling tidak kita berdiri dia atas point yang mana kita tetap sama padanya, iaitu agama kita sama, tuhan kita sama, nabi kita sama, kiblat kita sama dan kitab kita sama,” katanya.

Beliau berkata, atas dasar itu tiada perkara yang ‘menyulitkan’ mereka untuk bertemu, berbincang dan menyatukan ummah.

“(Saya) hanya menyuarakan harapan dari hati yang mahu melihat Islam menjadi hebat di bumi bertuah ini. Semoga semangat Syawal menyatukan ummah.

“Apakah ada sinar dihujung terowong gelap ini ? Semoga Allah memberi petunjuk-Nya kepada kita semua,” katanya.

Baru-baru ini, isu penyatuaan Ummah antara Umno dan PAS kembali berbangkit menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, dengan ada pihak yang berharap Muafakat Nasional (MN) dapat diperkasakan semula demi umat Islam di negara ini. – Malaysiapost

Komen