“Saya masih Ketua Menteri Melaka” – Sulaiman

“Saya masih Ketua Menteri Melaka” – Sulaiman

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan beliau masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat sehabis baik selagi dikehendaki pucuk pimpinan.

Beliau sekaligus menafikan dakwaan sudah melepaskan jawatannya itu dan menyifatkan  dakwaan itu berniat menganggu gugat kestabilan kerajaan negeri Melaka yang diterajuinya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 pada November tahun lalu.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya masih Ketua Menteri Melaka dan akan terus berkhidmat dengan sehabis baik dan sedaya upaya selagi mana dikehendaki oleh pucuk pimpinan.

“Saya menafikan dakwaan bahawa saya telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka. Ini adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri yang saya terajui selepas PRN Melaka ke-15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, isu sedemikian tidak sepatutnya timbul terutama ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang hilang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli politik negeri bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya satu kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

“Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru supaya kita semua muhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU-15 akan datang.

“Kita punya agenda yang lebih besar dan utama daripada bermain politik seperti ini. Saya orang parti dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang sudah dibuat oleh parti,” katanya.

Sulaiman berkata, selepas memenangi PRN lalu, beliau bersama barisan Exco dan anggota pentadbiran kerajaan negeri sentiasa berusaha gigih melaksanakan program pembangunan serta memenuhi aku janji yang dibuat.

Katanya, segala usaha terbabit adalah untuk memastikan Melaka dan rakyatnya dapat menikmati limpahan kemajuan, pembangunan dan kemakmuran yang setanding dengan negeri serta negara maju yang lain.

“Ketika ini saya berda di Sarajevo, Bosnia Herzegovina mengetuai misi pelaburan dan menghadiri Sarajevo Business Forum 2022 bersama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Misi ini adalah untuk melihat peluang-peluang pelaburan di sini serta untuk menarik pelaburan asing ke Melaka.

“Pada masa yang sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di Melaka, baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahu pun daripada segi perkembangan politik tanah air,” katanya. – Malaysiapost

Komen