Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Salleh Buang

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Salleh Buang

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Prof Datuk Salleh Buang yang telah kembali ke Rahmatullah pada Rabu lalu.

Allahyarham adalah seorang pakar akademik dalam bidang undang-undang menghembuskan nafas terakhirnya di Alor Setar, Kedah.

Istana Negara menerusi Facebook memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara,” kata kenyataan Istana Negara.

Allahyarham semasa hayatnya pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara di Kuala Lumpur sebelum menjadi peguambela dan peguamcara dan turut menyertai sektor korporat serta akademik.

Allahyarham merupakan anak kelahiran Johor dan setelah bersara, beliau pernah berkhidmat antaranya sebagai ahli akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta profesor undangan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor.

Allahyarham juga merupakan kolumnis akhbar yang terkenal dengan penulisannya di dada-dada akhbar mengenai undang-undang yang ditulis dalam bahasa yang amat mudah untuk difahami. – Malaysiapost

Komen