Aiman Tino terkejut teman sekolah mangsa nahas dekat Terowong Menora

Aiman Tino terkejut teman sekolah mangsa nahas dekat Terowong Menora

PENYANYI Aiman Tino terkejut seorang daripada lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung dalam nahas selepas Terowong Menora, Perak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), adalah kenalan sekolahnya.

Menerusi hantaran di Instagram, Aiman memuat naik gambar bersama Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Menurut pelantun lagu Ku Rela Dibenci itu, arwah Muhammad Nasrun Aidol adalah sahabatnya sejak sekolah rendah.

“Salam takziah buat keluarga Allahyarham Muhammad Nasrun Aidol. Sama-sama kita berdoa agar roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan beriman. Al-Fatihah,” tulisnya.

Dalam hantaran InstaStory, salah seorang peminat Aiman memberitahu bahawa Muhammad Nasrun Aidol kerap menyertai kumpulan qasidah bersama pelajar di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).

“Member kamu memang seorang yang bagus. Dia selalu join qasidah dengan budak-budak USAS. Rasanya esok jenazah dia dapat diuruskan.. kalau sempat datang lah sini,” tulis hantaran itu.

Selain Muhammad Nasrun, empat mangsa lain yang terkorban adalah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar.

Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).

Difahamkan, lima sahabat itu sedang keluar kawasan atau ‘outing’ ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran. – Malaysiapost

Komen