Lagu raya promosi LGBT, Vida dipanggil SKMM

Lagu raya promosi LGBT, Vida dipanggil SKMM

SELEPAS muzik video lagu raya nyanyiannya menerima kecaman netizen, usahawan sensasi Datuk Seri Vida dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam.

Menerusi hantaran di Instagram, Vida memberitahu beliau dipanggil bagi membantu siasatan berhubung muzik video lagu Muah Muah Raya, yang mencetuskan kontroversi, baru-baru ini.

“Saya tak tahulah nak cakap macam mana sebenarnya. Untuk MV lagu Muah Muah Raya itu, saya sebenarnya tak adalah promosi sangat selepas Datuk Aliff Syukri dipanggil SKMM sebelum ini.

“Tapi, untuk pengetahuan, saya dah buat benda ini sebelum Aliff Syukri lagi tapi tetap kena panggil, maka saya kena pergilah untuk diambil keterangan berhubung lagu Muah Muah Raya.

“Saya ini pun sedang dalam keadaan tak sihat. Sakit kepala tapi saya turuti arahan SKMM itu. Saya cuma fikir, apa yang saya buat itu sebagai hiburan saja, tiada apa-apa,” katanya dalam video di Instagram.

Sebelum ini, muzik video lagu raya terbaharu Vida mendapat reaksi pelbagai pihak yang kurang senang dengan penampilan kumpulan penari dalam lagu tersebut.

Netizen menganggap usahawan kosmetik itu sengaja ingin meraih kecaman dengan memaparkan kumpulan penari ‘drag queen’ dikatakan cuba mempromosi elemen LGBT.

Malah, netizen berkata Vida tidak menjaga sensitiviti serta kesucian bulan Ramadan dan Syawal.

Sebelum ini usahawan Aliff Syukri turut dipanggil SKMM untuk memberi keterangan selepas lagu dan MV raya berjudul Kelepok Raya menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak. – Malaysiapost

Komen