Malaysia-AS jalin kerjasama tangani isu buruh paksa

Malaysia-AS jalin kerjasama tangani isu buruh paksa

AMERIKA Syarikat (AS) amat menghargai usaha Malaysia dalam membanteras isu buruh paksa dan bersetuju meneruskan kerjasama strategik berhubung isu berkenaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, berkata susulan itu Malaysia dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan ASt (US CBP) bersetuju menjalinkan kerjasama menerusi penubuhan Jawatankuasa Kerja.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bertemu setiap tiga bulan dan akan memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa.

“Ini termasuklah merangka polisi atau dasar yang dapat menyokong inisiatif negara ke arah membanteras buruh paksa.

“Selain itu, US CBP yang dijangka mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada penghujung Mei ini, telah bersetuju untuk mengadakan bengkel bersama para pemain industri di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bengkel berkenaan akan memberi penerangan berhubung perkara berkaitan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan oleh pemain industri supaya produk mereka tidak disekat untuk memasuki ke pasaran AS.

Saravanan yang kini dalam lawatan kerja ke Washington, berkata dari aspek kerjasama dengan Jabatan Buruh AS (US DOL) pula, kedua-dua pihak bersetuju berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.

“Malah US DOL turut menyarankan agar Malaysia memberikan pendedahan kepada pekerja tentang kepentingan berkesatuan.

“Ini selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Julai ini,” katanya.

Saravanan berkata, dalam kunjungan ke AS kali ini eliau turut bertemu Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP, AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) Jabatan Buruh AS (US DOL), Thea Lee.

Katanya, pertemuan itu membolehkan pihaknya berkongsi inisiatif kementerian dalam menangani hampir keseluruhan indikator buruh paksa yang disenaraikan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Ia merangkumi penahanan dokumen pengenalan diri, kerja lebih masa berlebihan dan penahanan gaji.

“Namun begitu indikator perhambaan hutang menjadi satu-satunya cabaran di mana kebanyakan kes ini berlaku di negara sumber, tetapi memberikan implikasi negatif kepada negara penerima seperti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, lawatan kerjanya juga telah membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa, selain menjadi platform bagi AS untuk lebih memahami cabaran dihadapi Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak. – Malaysiapost

Komen