Parti politik diletakkan di bawah kuasa pentadbiran awam adalah suatu yang ketinggalan zaman. – Shahrir Samad

Parti politik diletakkan di bawah kuasa pentadbiran awam adalah suatu yang ketinggalan zaman. – Shahrir Samad

UMNO Bahagian Johor Bahru bersetuju dengan usul pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan Umno yang akan diusulkan di Perhimpunan Agung Khas Umno Malaysia (EGM) pada Ahad ini.

Ketuanya, Tan Sri Shahrir Samad berkata, ia kerana Umno Bahagian Johor Bahru adalah diantara beberapa ratus bahagian Umno yang inginkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) didahulukan dari pemilihan parti.

Veteran Umno itu berkata, sebenarnya suara akar umbi itu telahpun diputuskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang baru lalu.

“Namun, mandat parti yang disampaikan oleh keputusan bahagian-bahagian serta pembuat dasar tertinggi parti, iaitu perhimpunan agungnya, untuk tindakan kepimpinan parti kenalah juga diabsahkan dengan pindaan kepada Perlembagaannya.

“Pindaan kepada Perlembagaan parti secara falsafahnya menegaskan kepada peranan utama parti iaitu mendapatkan mandat rakyat pula pada setiap pilihan raya umum dan lain-lain pilihan raya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, selepas setiap pilihan raya umum, kepimpinan parti diberikan mandat parti untuk fokus kepada pilihan raya yang akan pasti menyusul tiba dalam proses demokrasi negara, iaitu untuk memperbaharui mandat rakyat.

Beliau berkata, timbul juga soal kuasa pentadbiran Pendaftar Pertubuhan (ROS) setelah parti, bersandar kepada perlembagaannya, meminda perlembagaannya agar mandat rakyat diutamakan.

“Mungkinkah Pendaftar Pertubuhan pula ada kuasa undang-undang untuk mengesah, meminda atau menangguhkan keputusan mandat parti?

“Jawapan saya ialah bahawa kedudukan parti politik di negara kita yang diletakkan secara undang-undang di bawah kuasa pentadbiran awam adalah suatu yang ketinggalan zaman.

“Parti politik adalah institusi penting dalam amalan sesebuah demokrasi. Ianya terlalu penting untuk diurus oleh pentadbiran awam. Malah sebagai sebuah institusi politik, tidak sesuai diuruskan sama seperti pertubuhan-pertubuhan biasa,”katanya.

Beliau berkata, gerakan ke arah memperkasakan Parlimen supaya lebih bebas dari kawalan pentadbiran awam, dan demikian secara langsung dan/atau tidak langsung oleh pihak eksekutif.

Katanya, banyak negara, parti-parti politik berada di luar kawalan pentadbiran awam atau badan eksekutif negara itu.

“Bagi saya, reformasi politik begini akan lagi memperkasakan mandat rakyat dalam sistem politik negara.

“Serta memperkasakan peranan parti politik sebagai penggerak utama sistem demokrasi negara. Taklah macam ‘Third World’ sangat,” katanya. – Malaysiapost

Komen