Penerima bantuan JKM perlu dibantu secara holistik – Rina Harun

Penerima bantuan JKM perlu dibantu secara holistik – Rina Harun

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) diarah meneruskan advokasi dalam usaha membantu R Theanmoli, 40, seorang ibu tunggal yang dihimpit kemiskinan dan mempunyai pelbagai masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata langkah itu perlu bagi menambah baik kehidupan wanita terbabit bersama dua anak kecilnya, selain bantuan bulanan yang diberi secara berterusan.

Beliau berkata, itu adalah peranan dimainkan JKM, yang tidak hanya menyalurkan bantuan sepertimana dilakukan oleh pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan.

“Pagi tadi saya melawat sendiri keadaan Puan Theanmoli, di Dengkil. Akibat kesukaran bernafas beliau memerlukan bekalan oksigen untuk membantunya bernafas juga perlu menjalani pemeriksaan serta rawatan dengan kerap di Hospital Putrajaya.

“Theanmoli merupakan ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak masing-masing berusia enam dan tujuh tahun. Kanak-kanak kecil ini pula terpaksa memikul tugas menjaganya sebaik pulang daripada sesi persekolahan,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, ibu tunggal berkenaan adalah penerima bantuan am JKM bermula November 2018 sehingga kini sebanyak RM350 sebulan.

“Mengambil kira keadaannya yang terlantar kerana obesiti dan tidak mempunyai keupayaan untuk bekerja, saya bersetuju untuk memberikan beliau Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik berjumlah RM500 sebulan bermula bulan ini, bagi menampung keperluan bekalan oksigennya.

“Selain bantuan-bantuan tersebut, apa yang penting bagi saya sebenarnya adalah penyelesaian secara holistik terhadap masalah-masalah-yang didepani oleh wanita ini. Dua orang anaknya ini juga akan dibantu dari segi pendidikan dan keperluan lain,” katanya.

Rina berkata, JKM juga akan meneliti keperluan klien secara holistik untuk membangunkan kendiri mereka, komuniti dan negara. – Malaysiapost

Komen