Pengguna bantah larangan terhadap vape

Pengguna bantah larangan terhadap vape

PERSATUAN pengguna vape tempatan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menimbangkan semula keputusan memasukkan vape dalam cadangan larangan terhadap ‘Generational End Game’ (Generasi Penamat), iaitu bakal mengharamkan penjualan rokok kepada individu yang dilahirkan selepas 2005.

Presiden Malaysian Vapers Alliance (MVA), Khairil Azizi Khairuddin berkata, KKM perlu membezakan kategori vape dan rokok sebelum melaksanakan cadangan tersebut, kerana kedua-dua produk berkenaan tidak mempunyai persamaan sama sekali.

Katanya, kedua-dua produk ini telah diakui sebagai dua produk yang berbeza di peringkat global.

“Terdapat banyak bukti daripada badan kesihatan awam antarabangsa yang mengatakan vape kurang memudaratkan berbanding rokok.

“Maka adalah salah untuk membuat undang-undang vape sama seperti rokok. Banyak negara lain yang telah mengawal selia vape, termasuk UK dan New Zealand malah menjadikan ia sebagai alat yang boleh membantu perokok berhenti merokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil berkata, cadangan itu telah menghantar mesej yang salah dan sebagai pengguna dewasa, pihaknya amat percaya bahawa setiap individu tidak boleh dinafikan hak untuk mendapatkan alternatif yang kurang berbahaya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa di Filipina baru-baru ini, terdapat sejuta ‘vaper’ telah menunjukkan sokongan mereka terhadap kelulusan Rang Undang-undang (RUU) Vape yang akan diperkenalkan untuk mengawal selia produk vape di Filipina secara berasingan daripada rokok.

“Rang Undang-undang vape tersebut memberi fokus kepada menghalang kanak-kanak di bawah umur mendapatkan vape dan memastikan pengguna mempunyai akses kepada produk terkawal dan mengurangkan bahaya yang disebabkan oleh tabiat menghisap rokok.

“Begitu juga di Malaysia, pelbagai kumpulan, daripada persatuan industri vape, pengguna dan penyokong pengurangan kemudaratan telah menyuarakan sokongan mereka terhadap pengenalan peraturan vape.

“Sejak bertahun-tahun kami telah menyeru agar peraturan diperkenalkan namun terdapat kelewatan daripada pihak Kementerian Kesihatan. Kami juga memahami kebimbangan Kementerian terhadap belia.

” Tetapi adalah penting, peraturan segera diperkenalkan agar dapat melaksanakan langkah menghalang kanak-kanak di bawah umur mempunyai akses kepada produk tersebut. Sebagai contoh di Filipina, Rang Undang-Undang yang sedang dibincangkan di sana mempunyai langkah sedemikian termasuk mewajibkan semua kedai fizikal dan platform e-dagang untuk melakukan pengesahan umur melalui kad pengenalan dan kegagalan berbuat demikian akan menjadi satu kesalahan. Ini adalah langkah yang betul dan perlu dicontohi di Malaysia segera,” katanya.

Tambahnya, Rang Undang-undang vape di Filipina itu didorong oleh pengiktirafan produk tersebut supaya ia dikawal dan mematuhi keperluan standard keselamatan, malah pengguna tidak terdedah kepada produk terlarang dan tidak dikawal.

Katanya, oleh kerana penjualan produk vape berleluasa di seluruh Malaysia, kerajaan mesti segera meletakkan peraturan atau garis panduan produk untuk mengawal industri supaya pengguna membeli produk yang mematuhi undang-undang.

“Manakala Kementerian Kesihatan tidak boleh terus  hanya mencari jalan untuk mengharamkan vape dan melengahkan peraturan sambil mengabaikan isu sebenar yang dihadapi,” katanya.

Beliau berkata, peraturan vape di Malaysia harus berdasarkan tujuan untuk menggalakkan perokok berhenti merokok dengan menukar kepada vape yang terbukti kurang memudaratkan sama seperti Rang Undang-undang Vape Filipina dengan meletakkan peraturan vape yang berbeza daripada rokok dan membantu perokok untuk bertukar.

“RUU tersebut juga membenarkan promosi dan pengiklanan produk vape kepada perokok,” katanya- Malaysiapost

Komen