Segerakan RUU Anti Lompat Parti, Hamzah jangan berdalih – Pejuang

Segerakan RUU Anti Lompat Parti, Hamzah jangan berdalih – Pejuang

TINDAKAN Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengaitkan Tun Dr Mahathir dalam isu lompat parti disifatkan sebagai dangkal oleh Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Ulya Husamuddin.

Menurutnya, kenyataan yang dikeluarkan Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri, apabila mengatakan aktiviti lompat parti sebagai kemahuan orang ramai dan cuba mengaitkan Dr Mahathir dalam isu itu adalah sangat dangkal.

Beliau berkata, tindakan Dr Mahathir yang meninggalkan Umno dan Bersatu sebelum ini berbeza dengan lompat parti kerana tindakannya tidak langsung mengganggu pentadbiran negara.

“Sewaktu meninggalkan Umno sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang sarat dengan amalan rasuah Datuk Seri Najib Razak, beliau bukan seorang ahli parlimen.

“Sewaktu memimpin Bersatu, beliau dipecat sebagai Pengerusi oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan komplot Ahli Majlis Tertinggi Bersatu kerana tidak bersetuju dengan tindakan untuk lompat keluar daripada koalisi sehingga menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apakah Hamzah tidak sedar ketidak-setabilan politik di negara ini pasca Langkah Sheraton telah menyebabkan kejatuhan nilai ringgit yang teruk dan menyebabkan pelabur asing lari?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, amalan aktiviti rasuah yang kembali meningkat, kenaikan harga barang dengan tiada pemantauan menyebalkan majoriti rakyat di negara ini.

“Sudah-sudahlah berpolitik, fikirkan masa depan negara dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Pejuang menggesa supaya Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dapat segera dibentangkan di Parlimen agar negara ini dapat bergerak maju kehadapan dan tidak diganggu oleh aktiviti politik yang menggugat kelancaran pentadbiran negara.

“Ketika rakyat sedang bergelut dengan kemelesetan ekonomi dan kenaikan harga barang, para pemimpin sepatutnya fokus untuk menyelesaikan masalah ini dan bukan hanya sekadar memikirkan soal kuasa,” katanya.

Rabu lalu, Hamzah dilaporkan berkata, tindakan keluar masuk parti disifatkan sebagai perkara biasa dan berlaku sejak dahulu lagi dengan mendakwa ia dilakukan demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, perkara itu bukan sahaja berlaku di peringkat bawahan, malah turut membabitkan pimpinan tertinggi parti, termasuk Dr Mahathir. – Malaysiapost

Komen