Van sekolah dipandu secara bahaya, pemandu ditahan

Van sekolah dipandu secara bahaya, pemandu ditahan

PEMANDU van sekolah yang tular di media sosial, kerana dipercayai memandu secara merbahaya dan melawan arus dengan membawa bersama lapan pelajar dalam kejadian di Jalan Lumut Sitiawan, Manjung, Perak, berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya pada mulanya terkesan penularan video berdurasi 19 saat pada jam 6 petang, yang dimuat naik oleh pemilik akaun Tiktok Blackkhppo 7 memaparkan kejadian berkenaan.

“Kemudian jam lebih kurang 8.20 malam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Manjung telah berjaya mengesan pemandu van sekolah berwarna kuning tersebut, iaitu seorang lelaki berumur 74 tahun.

“Pemandu dan van sekolah tersebut telah dibawa balik ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Omar berkata, hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 7.15 petang kelmarin di Jalan Lumut Sitiawan, daerah Manjung, Perak.

“Semasa kejadian pemandu tersebut sedang membawa seramai lapan pelajar sekolah berumur lingkungan 13 hingga 14 tahun dan mengaku van dipandunya dalam keadaan tergesa-gesa kerana hendak menghantar pelajar-pelajar tersebut pulang ke rumah masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Perdana, Sitiawan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, satu kertas siasatan kesalahan trafik telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu dan membahayakan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 ringgit dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan pihak polis.

“Pihak IPD Manjung juga meminta pengguna jalanraya untuk sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan dan undang-undang jalanraya bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya dan seterusnya dapat mengelakkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya. – Malaysiapost

Komen