AS perlu bersikap jujur selesai isu Palestin – PM

AS perlu bersikap jujur selesai isu Palestin – PM

AMERIKA Syarikat (AS) perlu bersikap jujur dalam menyelesaikan isu kekejaman yang dihadapi rakyat Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendirian tegas itu harus diambil bagi menyelesaikan krisis yang telah berlarutan sejak sekian lama.

“Jadi kita bersetuju Malaysia meminta AS menggunakan kuasanya dan memastikan isu Palestin ini dapat diselesaikan.

“Kalau AS begitu cepat bertindak dalam kes yang berlaku di Ukraine, kita hendak yang sama juga bagi menyelesaikan isu di Palestin,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media lawatan rasmi ke Washington DC hari ini.

Dalam pada itu, Malaysia turut berpendirian tegas mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan rejim Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin seperti yang berlaku di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis kebelakangan ini.

Tegasnya, kekejaman Israel itu berterusan dan perlu dihentikan serta-merta.

“Malaysia juga memandang serius tentang pembunuhan, kekejaman yang berlaku di Israel.

“Terutamanya baru-baru ini melibatkan pembunuhan wartawan Al-Jazeera (Shireen Abu Akleh) yang dibunuh dengan kejam,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam penggulungan lawatan kerjanya berkata, lawatan empat hari ke negara Uncle Sam itu boleh disifatkan sebagai satu kejayaan yang mana mampu mengukuhkan lagi hubungan bilateral Malaysia dan AS.

Jelasnya, AS memainkan peranan penting kepada negara dari segi politik dan perdagangan.

Ini jelas terbukti apabila AS merupakan rakan dagang kedua terbesar dan keempat terbesar dari segi pelaburannya di negara ini. – Malaysiapost

Komen