Dakwa ECRL milik China: Tidak berasas, propaganda berniat jahat – Ka Siong

Dakwa ECRL milik China: Tidak berasas, propaganda berniat jahat – Ka Siong

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyifatkan dakwaan berkenaan kerajaan akan memindahkan aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada China adalah tidak berasas sama sekali.

Menurut Ka Siong, tuduhan itu sengaja dicetuskan sebagai satu propaganda berniat jahat sebagaimana naratif sesetengah pihak sebelum ini berhubung projek pembangunan Forest City, usahasama Proton-Geely.

“Naratif mereka, negara asing menguasai aset Malaysia, aset negara digadai dan kedaulatan negara diceroboh.

“Ini bukan sahaja fitnah, tetapi juga memburukkan imej Malaysia bagi kaca mata masyarakat dunia, lebih buruk ia menghakis kepercayaan pelabur asing untuk melabur di Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Ka Siong, pihak Malaysia Rail Link (MRL) sebagai sebuah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) [MOF (Inc.)] telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) bagi menubuhkan syarikat usahasama dengan pemilikan 50:50 untuk dilantik sebagai Operator ECRL.

“Jadi, sebagai Operator, syarikat usahasama ini akan menjalankan pengurusan, operasi dan penyenggaraan keseluruhan perkhidmatan ECRL.

“Melalui MoU ini, 80 peratus daripada keuntungan operasi akan dimiliki MRL dan bakinya dimiliki CCCC.

“Maka sebarang kerugian operasi akan ditanggung bersama 50:50. Ini membuktikan keyakinan pihak dari negara China ke atas prospek keuntungan operasi ECRL yang akan menjamin kualiti dan kelestarian perkhidmatannya.

“Sehubungan itu, spekulasi mengenai pemindahan milik aset dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL kepada negara China adalah tidak berasas sama sekali,” katanya.

Beliau berkata, aset ECRL adalah 100 peratus milik Kerajaan Malaysia melalui MRL dan tanah-tanah di sepanjang jajaran ECRL adalah rizab kereta api yang tidak boleh dipindah milik.

Tambahnya, pelan pembayaran balik kos pinjaman projek kepada Bank milik Kerajaan China juga langsung tidak melibatkan pemindahan aset ECRL atau tanah-tanah disepanjang jajaran ECRL.

“Ditegaskan bahawa MRL adalah pemilik projek dan aset ECRL manakala syarikat CCCC adalah kontraktor utama,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, ECRL yang merangkumi panjang 665 km in dijadualkan siap pada Disember 2026, akan melalui negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu, dan Pahang sebelum menghubungkan Lembah Klang di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“ECRL akan mengurangkan tempoh masa perjalanan dan menghubungkan Kota Bharu dengan ITT Gombak dalam masa 4 jam,” katanya.

Mengulas lanjut, mengenai dakwaan tersebut, Ka Siong berkata, beliau tidak mampu mengubah tanggapan sesetengah pihak yang tetap dengan pendiriannya walaupun ia songsang, tidak tepat dan jauh terpesong daripada realiti.

” Saya di sini hanya menjelaskan perkara sebenar bersandarkan kepada fakta. Saya sedaya upaya memberi penjelasan yang mudah difahami semua pihak.

“Saya juga sentiasa terbuka menerima pandangan mahupun kritikan membina daripada sesiapa sahaja, bukannya dengan cara membuat tuduhan berbaur fitnah atau meneruskan propaganda berniat jahat hanya kerana perbezaan politik yang tidak memberi manfaat kepada masyarakat dan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen