‘Iqbal Hasnun tersenyum ketika duduk tahiyat akhir’ – Bapa

‘Iqbal Hasnun tersenyum ketika duduk tahiyat akhir’ – Bapa

PERKONGSIAN bapa salah seorang mangsa kemalangan yang melibatkan lima pelajar berhampiran Terowong Menora Khamis lalu, amat meruntun hati dan menjentik jiwa warga maya yang membacanya.

Halimi Ali Yahad bapa kepada Iqbal Hasnun, 23, mencoretkan perasaannya menerusi hantaran di Facebook, mendoakan anak yang dikasihi tenang menerima ketentuan Ilahi dan menjadi ahli syurga kelak.

“Tenangnya aliran air… Suasananya damai.

“Ku mohon Ya Allah, agar jiwa ku, jiwa isteriku, jiwa anak-anak ku, jiwa ahli keluarga ku, jiwa rakan yang senasibku, jiwa semuanya…

“Ya Allah, jadilah jiwa anak kami Iqbal Hasnun jiwa yang tenang…. Kembali menghadap Mu dengan saling redha meredhai…. Maka, Dikau panggilnya dengan panggilan masuklah hamba Ku dan masuklah ke syurga Ku… Begitu juga dengan rakan-rakan…..

“Ya Allah, kurniakanlah yang terbaik buat kami…… Seusai solat subuh berjemaah…. Ku berpaling ke belakang terpandang susuk tubuhnya sedang duduk tahiyat sambil tersenyum manis….,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, jenazah Iqbal Hasnun, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seelong di Senai, pada 7.30 pagi tadi.

Halimi, 50, berkata, pihaknya bersyukur kerana semua urusan arwah Iqbal Hasnun termasuk pengebumiannya berjalan lancar.

Dia yang kelihatan sebak berkata, keluarganya menghargai doa semua pihak yang mengiringi arwah Iqbal Hasnun selepas kejadian menimpanya.

Menurutnya, sebagai ketua keluarga, dia bersyukur kepada Allah SWT atas doa, sokongan moral termasuk wakil dari Jabatan Perdana Menteri, kerajaan negeri Perak dan pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia.

“Ada yang melakukan solat hajat, membacakan doa, surah Yassin dan ia amat bermakna dan mempermudahkan urusan arwah kerana pada awalnya proses bagi menuntut jenazahnya dikatakan memakan masa lebih lima hingga enam hari. Selepas solat Jumaat semalam, ada petanda ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dapat dituntut pada hari sama.

“Kesemua keluarga berasa nikmat walaupun perit menerima kenyataan mereka sudah tiada dan nikmat paling besar adalah nikmat persaudaraan insan yang tidak kami kenal yang mengambil berat kebajikan dan kebaikan untuk kami,” katanya.

Majlis pengebumian Iqbal Hasnun turut dihadiri ahli keluarganya termasuk bapa, ibu, Nor Laila Paralan, 46; adik, Iqbal Hamdi, 19; Husna Hayati, 16 dan Aisyah Umairah, 4.

Iqbal Hasnun adalah antara mangsa rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, tengah malam kelmarin. -Malaysiapost

Komen