Kadar Tambang ECRL berpatutan, mesra rakyat – Ka Siong

Kadar Tambang ECRL berpatutan, mesra rakyat – Ka Siong

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menegaskan sekali lagi bahawa kadar tambang bagi Projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) amat berpatutan dan mesra rakyat.

Jelas Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, ia kerana kadar tambang ECRL akan ditentukan setara dengan kadar tambang perkhidmatan kereta api sedia ada yang dikawal selia oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Selain itu, katanya, ECRL juga mampu menjana trafik penumpang dan kargo yang tinggi memandangkan jajaran ECRL yang melalui kawasan industri berat dan hab pembuatan yang dihubungkan dengan pelabuhan-pelabuhan utama negara.

“Perkara ini telah dikaji oleh pihak perunding bertauliah yang mempunyai kepakaran untuk mengumpul data dan menjalankan kajian bagi merumuskan unjuran trafik tersebut.

“Malah, perkhidmatan penumpang juga turut menunjukkan permintaan yang tinggi memandangkan jajaran yang melalui bandar-bandar utama di Pantai Timur.

“Maka itu, ECRL akan dapat menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih baik disamping kos yang berpatutan kepada penduduk khususnya di Pantai Timur,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu, mengenai landasan single-track ECRL, Ka Siong berkata, keputusan ini dibuat pada tahun 2019 semasa zaman pemerintahan Pakatan Harapan.

“Untuk makluman, perunding pembinaan projek ECRL telah merumuskan bahawa landasan single-track adalah memadai untuk unjuran trafik muatan kargo dan penumpang ECRL sekurang-kurangnya dalam 10 tahun pertama operasinya.

“Pembinaan sembilan passing loop di sepanjang jajaran ECRL akan membolehkan pengendalian tren dua-hala di antara Pantai Timur dan Lembah Klang,” katanya.

Mengenai sumber pendapatan pula, beliau berkata, MRL turut giat merangka dan melaksanakan pelan jangka panjang untuk menjana pendapatan yang mencukupi bagi menampung kos operasi syarikat.

“Sebarang keuntungan dari operasi tren dan perniagaan sampingan MRL akan dapat digunakan untuk membayar balik sebahagian daripada tanggungan pinjaman projek ECRL.

“Manfaat yang mampu dijana oleh projek ECRL ialah melalui value-capture keseluruhan projek ini iaitu pembangunan ekonomi yang pesat di negeri-negeri Pantai Timur apabila kemudahan rel disediakan dan kos pengangkutan kargo dari dan ke Pantai Timur menurun sehingga 40 peratus hingga 50 peratus.

“Ini akan meningkatkan daya saing negeri-negeri Pantai Timur dan mewujudkan lebih banyak industri baharu yang dijangka menjana pendapatan melalui cukai-cukai kepada Kerajaan seterusnya dikembalikan kepada rakyat.

“Apakah pihak pembangkang mahu menafikan peluang ini kepada negeri-negeri Pantai Timur? Adakah sumber pendapatan dan limpahan ekonomi ini diklasifikasikan sebagai satu bentuk ‘penindasan’ dalam pemikiran pemimpin pembangkang?,” katanya. – Malaysiapost

Komen