Kerjasama ASEAN-AS landasan strategik – PM

Kerjasama ASEAN-AS landasan strategik – PM

ASEAN melihat jauh ke hadapan kebergantungan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, negara-negara ASEAN memaksikan kerjasama ASEAN-Amerika Syarikat sebagai landasan strategik.

“Ini adalah bagi mengkaji serta meneroka bidang kerjasama bagi memperkukuh hubungan dan kerjasama sedia ada demi masa hadapan yang lebih baik untuk negara dan rakyat Malaysia.

“Sidang kemuncak ASEAN-AS ini adalah titik permulaan untuk ekonomi serantau yang lebih inklusif dan mampan,” katanya di Facebook, hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri berkata, semalam adalah hari yang penuh bersejarah, apabalia beliau bersama pemimpin-pemimpin ASEAN lain berdiri dihadapan Rumah Putih, Washington DC.

“Bersama Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, kami membincangkan kepentingan bekerjasama dalam memastikan keselamatan, kemakmuran dan penghormatan terhadap memenuhi hak asasi manusia untuk seluruh rakyat.

“Presiden Biden juga memberi perkongsian yang penuh bermanfaat di samping memberikan kepastian terhadap komitmen beliau kepada Asia Tenggara.

“Saya berbangga menjadi salah seorang pemimpin ASEAN yang memberi sumbangan dalam lawatan ASEAN-Amerika Syarikat ini. Semoga semua perkongsian di sini membuahkan hasil yang sejahtera dan berpanjangan bagi negara-negara ASEAN dan Amerika Syarikat,” katanya.

Perdana Menteri menyertai Presiden AS itu dan pemimpin ASEAN pada hari terakhir Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di Washington.

Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan global dalam sesi yang berlangsung pada 2.30 petang Jumaat waktu tempatan (2.30 pagi Sabtu di Malaysia).

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong; Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen; Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan juga Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh.

“Seiring ulang tahun ke-45 hubungan diplomasi ASEAN dan Amerika Syarikat, pertemuan ini diharapkan dapat membawa impak positif terhadap diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen