Lawatan kerja empat hari ke AS satu kejayaan – PM

Lawatan kerja empat hari ke AS satu kejayaan – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan lawatan kerja empat harinya ke Amerika Syarikat (AS) sebagai satu kejayaan.

Beliau berkata lawatannya itu mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-AS, dan juga ASEAN-AS, lapor Bernama.

“Amerika Syarikat penting kepada Malaysia daripada segi politik dan perdagangan,” katanya kepada media Malaysia di sini pada hari terakhir lawatannya, yang bermula Selasa (Rabu di Malaysia).

AS adalah rakan dagang kedua terbesar, dan keempat terbesar dari segi pelaburan di Malaysia,” katanya.

Perdana Menteris berkata, mesyuarat beliau dengan pemimpin-pemimpin AS serta peneraju industri negara itu telah meningkatkan lagi hubungan berkenaan.

Katanya, perjumpaan dengan para pelabur serta peneraju industri Amerika memperlihatkan bahawa terdapat potensi pelaburan yang besar bagi Malaysia pada masa akan datang.

“Ramai yang berminat. Ada yang berjanji hendak tambah pelaburan dan ada yang hendak membuat pelaburan baharu,” katanya.

Dalam lawatan kerja itu, Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS di sini dan menemui Presiden AS Joe Biden, Naib Presiden Kamala Harris serta lain-lain pemimpin negara-negara ASEAN.

Presiden Biden turut menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan pemimpin negara-negara ASEAN itu di White House, Khamis.

Ismail Sabri turut menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Keluarga Malaysia di sebuah hotel di sini pada hari Rabu (Khamis di Malaysia). – Malaysiapost

Komen