Malaysia perlu naratif ekonomi baharu, sesuai dengan cabaran dekad – Zahid

Malaysia perlu naratif ekonomi baharu, sesuai dengan cabaran dekad – Zahid

MALAYSIA memerlukan naratif ekonomi baharu yang dapat menyesuaikan keadaannya mendepani cabaran global setiap dekad.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata naratif ekonomi itu mesti berpaksikan kepada transformasi realistik institusi-institusi utama negara, termasuklah Syarikat-Syarikat Berkenaan Kerajaan (GLC) dan beberapa kementerian berkaitan ekonomi.

“Para pembuat dasar harus sedar bahawa, apabila berlalunya setiap dekad, negara harus mempunyai naratif ekonomi baharu yang sesuai dengan konteks dan cabaran dekad tersebut.

“Transformasi ini juga mesti bertujuan untuk ‘restore confidence and transform Malaysia’s economic structure’ (memupuk semula kepercayaan dan mentransformasi struktur ekonomi Malaysia) agar tidak ditinggalkan negara seperti Indonesia dan Vietnam dalam dekad akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, Debat Perdana antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim Rabu lalu, menyingkap kembali nostalgia keberkesanan naratif ekonomi Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional.

“Apabila Kerajaan Pakatan Harapan merampas tampuk kekuasaan negara, naratif ekonomi kita telah berfokus kepada usaha melempiaskan dendam individu tertentu kepada pemimpin-pemimpin Umno.

“Sejak dari itu, negara telah kehilangan ‘the overarching narrative’ dalam pembangunan ekonominya.

“Konsultan-konsultan antarabangsa pula dibayar dengan harga yang keterlaluan untuk menghasilkan dasar yang jauh dari realiti kehidupan rakyat.

“Akhirnya, usaha murni Kerajaan Barisan Nasional untuk mengupayakan ekonomi rakyat Malaysia terbantut dan disisihkan. Negara kembali lesu dan hilang seri untuk menarik dan merebut peluang pada era globalisasi,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, melalui respons rakyat kepada debat Anwar-Najib, sama ada yang tersurat mahu pun yang tersirat, telah jelas membuktikan bahawa Malaysia amat memerlukan naratif ekonomi baharu.

“Bagi menyokong usaha ini, Kerajaan harus beransur-ansur mengutamakan lantikan berdasarkan kelayakan dan keupayaan ke dalam GLC dan beberapa Kementerian berkaitan ekonomi.

“Transformasi politik dan institusinya pula harus sentiasa ditingkatkan agar kepercayaan rakyat kepada ahli-ahli politik dan demokrasi sentiasa utuh,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata Debat Anwar-Najib telah menyebabkan rakyat Malaysia merindui ‘kek ekonomi Malaysia ketika zaman Kerajaan BN memerintah.

“Debat Anwar-Najib bukanlah sekadar debat ‘suka-suka’. Rakyat Malaysia merindui naratif ekonomi yang berkisar tentang kehidupan mereka.

“‘Kek ekonomi Malaysia’ harus dibesarkan dan dibahagi-bahagi secara adil dan menyeluruh. Utamakan yang berprestasi dan berusaha. Bagi yang kurang berupaya pula, mereka perlu sentiasa dibantu mengikut keperluan semasa,” katanya. – Malaysiapost

Komen