‘Pinda Perlembagaan Umno bukan untuk saya’ – Zahid

‘Pinda Perlembagaan Umno bukan untuk saya’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Perhimpunan Agung Khas Umno esok bertujuan untuk meminda perlembagaan demi memperkasakan parti dalam berdepan cabaran mendatang.

Beliau berkata, pastinya pindaan yang akan menjadi tumpuan adalah berhubung pemilihan parti yang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, pindaan itu bertujuan memastikan seluruh kekuatan Umno dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa ancaman dan risiko perpecahan.

“Ia merupakan satu lagi langkah dan usaha keterhadapan untuk memperkasakan Umno dalam berdepan dengan cabaran mendatang.

“Pindaan itu kelak meletakkan Umno dalam keadaan paling kemas, tersusun dan berdaya setiap kali memasuki gelanggang PRU,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu pastinya mengundang rasa kurang senang pihak yang sememangnya tidak pernah senang dengan Umno.

Katanya, kumpulan itu menyedari bahawa pindaan terbabit akan menyanggah impian mereka untuk menyaksikan perpecahan dalam Umno yang akhirnya melemahkan parti terbabit.

“Mungkin kerana itu ada ‘suara-suara panas hati’ yang menuduh kononnya transformasi itu demi kepentingan Presiden Umno.

“Saya dengan tawaduk dan penuh keyakinan menegaskan pindaan waktu pemilihan parti hanya selepas PRU tidak pernah berkenaan diri saya.

“Ia sesuatu yang diputuskan oleh akar umbi Umno secara bersama dengan mengambil iktibar dan keinsafan demi menjulang sebuah penyatuan.

“Pindaan itu juga tidak bersifat ‘short term’, sebaliknya ia sebuah strategi masa panjang untuk kepentingan Umno semata-mata,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pindaan perlembagaan berhubung pemilihan parti perlu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU dalam PAU Khas esok, dijangka tidak berdepan halangan.

Beliau berkata, seramai 2,666 perwakilan akan menyokong usul tersebut yang sebelum ini telah diluluskan pada PAU Mac lalu.

“Jadi saya menjangkakan usul ini akan lulus dengan mudah. Ini kerana perwakilan yang sama bersetuju dengan usul itu akan mengundi semula usul berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

Komen