Pindaan perlembagaan Umno haram, selamatkan Presiden dari kes mahkamah

Pindaan perlembagaan Umno haram, selamatkan Presiden dari kes mahkamah

PINDAAN Perlembagaan Umno yang bakal digubal adalah bagi membolehkan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ‘kluster mahkamah’ terlepas daripada pendakwaan, kata Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai CheguBard turut menyifatkan pindaan Perlembagaan Umno bagi melewatkan pemilihan parti itu menggambarkan Umno meletakkan undang-undang di bawah ‘tapak kaki’ mereka sendiri.

“Semua ini berlaku kerana Zahid dan kuncunya mahu terus kuasai Umno bagi menggunakan Umno sebagai alat melepaskan diri dari kes korupsi yang sedang dihadapi mereka.

“Nampaknya tradisi zaman undang undang di bawah kaki yang berkuasa akan berulang semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Badrul Hisham berkata, urusan dalaman parti lain adalah hak parti berkenaan, namun sebagai gerakan siasah yang akhirnya memerlukan undi rakyat maka ia harus menjadi hak perbincangan umum.

“Di Malaysia semua organisasi wajib ikut perlembagaan parti itu dibawah pengawasan RoS (Suruhanjaya Pendaftaran Pertubuhan).

“Hari ini Umno jelas telah gagal menghormati peraturan pertubuhan yang mereka sendiri rangka (perlembagaan Umno) malah menggunakan kuasa memaksa Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya mengikut kehendak mereka.

“MKT (Majlis Kerja Tertinggi) Umno yang ada hari ini telah mendapat mandat pada tahun 2018 dan berdasarkan peraturan Umno ia tamat 30 Jun 2021. Maka berdasarkan peraturan pemilihan wajib dibuat sebelum itu.

“Namun penangguhan pemilihan bukan asing bagi mana-mana pertubuhan tetapi ia perlu dibuat secara sah dengan kelulusan ROS,” katanya.

Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, Umno tidak berhak meminda Perlembagaan mereka sendiri kerana boleh menyebabkan ianya tidak sah kerana kepimpinan yang menguruskan parti itu hanya bertindak sebagai ‘caretaker’ sahaja.

“Ketua Pengarah ROS secara jelas menyatakan pasa 10 Ogos 2021 “Pada masa ini (kepemimpinan UMNO) seperti caretaker sahaja, hanya boleh buat pengurusan administrative atau pentadbiran biasa parti”

“Dari segi pelaksanaan (atau segala) keputusan dasar kena bawa ke Perhimpunan Agung dahulu kerana dia lebih kepada caretaker sahaja.

“Maka tidak perlu menjadi peguam cukup pemahaman biasa maka akan difahami betapa cadangan MKT (yang telah tamat tempoh) untuk adakan Mesyuarat Agung luar biasa (EGM) bagi meminda perlembagaan Umno sebagai tidak sah untuk menjadi pertubuhan pertama menangguhkan pemilihan “tanpa tarikh” dan dengan jelas pemimpin Umno tidak peduli untuk langgar undang undang asalkan matlamat tercapai,” katanya.

Chegubard mengingatkan Umno, kenyataan Ketua Pengarah ROS, Jasri Kasim yang menyatakan perkara itu secara langsung dan mudah difahami.

“Boleh tangguh atau pinda perlembagaan tetapi ia harus dilakukan oleh MKT yang tidak tamat tempoh.

“Namun hari ini apa yang dilakukan ialah haram kerana MKT sudah tamat tempoh dan hanya bertindak sebagai ‘caretaker’.

“Makanya semua keputusan dasar seperti pemecatan ahli dan pindaan perlembagaan selepas tamat tempoh tidak sah,” katanya.

Umno bakal meminda perlembagaan parti itu melalui Persidangan Agung Umno (PAU) Khas yang akan diadakan esok. -Malaysiapost

Komen