PM ucap takziah kemangkatan Presiden UAE

PM ucap takziah kemangkatan Presiden UAE

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum dan rakyat negara itu atas kemangkatan Presidennya, Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Ismail Sabri berkata, beliau sedih apabila mendapat perkhabaran mengenai kemangkatan Pemerintah Abu Dhabi itu yang disifatkannya sebagai pemimpin berwawasan serta telah berjasa besar kepada kemajuan dan kemakmuran UAE.

“Pencapaian, kebijaksanaan dan kemurahan hati Almarhum telah memberi manfaat kepada rakyat UAE dan seluruh umat Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perdana Menteri berkata, Malaysia amat menghargai sumbangan murni Sheikh Khalifa yang telah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

“Doa dan ingatan saya sentiasa bersama Yang Mulia, Ahli Kerabat Diraja dan rakyat UAE dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar ini.

“Semoga Allah SWT merahmati Yang Mulia Almarhum dan menempatkan rohnya bersama-sama golongan yang soleh. Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Sheikh Khalifa yang memerintah sejak 2004 meninggal dunia pada usia 73 tahun semalam selepas berehat lama akibat sakit.

Istiadat penghormatan terakhir Sheikh Khalifa dijadual berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 16 Mei. – Malaysiapost

Komen