Polis serah kertas siasatan pemandu treler Selasa ini

Polis serah kertas siasatan pemandu treler Selasa ini

POLIS akan menyerahkan kertas siasatan membabitkan pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), kepada Timbalan Pendakwa Raya seawalnya Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar, berkata, sekiranya Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan siasatan terbabit, lelaki berusia 28 tahun itu akan dibawa ke pertuduhan di mahkamah pada petang Selasa.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kita sedang dalam proses melengkapkannya.

“Polis akan kemukakan kertas siasatan ini kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari Selasa. Sekiranya berpuas hati, suspek akan dituduh pada Selasa petang itu juga,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, siasatan kes berkenaan masih berjalan dan polis akan mendapatkan kebenaran lanjutan tempoh reman terhadap pemandu terbabit di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, esok.

“Tahanan reman ini bagi membantu polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebelum ini, pemandu terbabit telah direman selama empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes terbabit.

Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas lelaki itu adalah negatif mengambil dadah.

Pemandu berasal dari Jitra, Kedah itu dilaporkan mempunyai 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dengan lapan daripadanya membabitkan kesalahan pandu laju, manakala sembilan rekod kesalahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata, kelima-lima jenazah telah diserahkan kepada waris masing-masing, yang terakhir pada jam 8 malam tadi.

Katanya, dua daripada mangsa selesai menjalani proses bedah siasat dan pengecaman identiti di Hospital Kuala Kangsar pada Khamis, manakala tiga lagi di Hopsital Taiping pada Jumaat.

“Sampel bagi pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya,” katanya.

Dalam kemalangan sekitar jam 12.52 malam di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada Rabu lepas, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Siasatan awal mendapati, treler muatan pagar besi dipandu seorang lelaki tidak sempat membrek ketika melalui lokasi kejadian lalu merempuh belakang kereta yang dinaiki lima mangsa terbabit. – Malaysiapost

Komen