Prestasi ekonomi negara semakin baik – PM

Prestasi ekonomi negara semakin baik – PM

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob percaya pencapaian ekonomi negara dijangka terus kukuh pada suku kedua tahun 2022 susulan pembukaan semula sempadan negara dan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April 2022.

Beliau berkata, prestasi ekonomi negara semakin baik selepas melihat beberapa faktor seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), pelaburan langsung asing (FDI) dan Indeks Sentimen Pengguna keluaran Malaysia Institute of Economic Research (MIER) mencatatkan peningkatan.

“Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak lima peratus mengatasi jangkaan kebanyakan penganalisis ekonomi.

“Pelaburan langsung asing (FDI) meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM24.4 bilion berbanding RM8.5 bilion pada suku pertama tahun 2021.

“Manakala, kadar pengangguran juga menurun kepada 4.1 peratus pada suku pertama 2022 kepada 671.2 ribu orang, terendah sejak suku kedua tahun 2020.

“Dan Indeks Sentimen Pengguna keluaran Malaysia Institute of Economic Research (MIER) turut meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama tahun 2022 berbanding 97.2 mata pada suku keempat 2021,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Ismail Sabri turut memaklumkan Indeks Keyakinan Ketua Eksekutif yang diterbitkan bersama Vistage dan MIER mencatat 122.1 mata pada suku pertama tahun 2022, iaitu paras tertinggi sejak pandemik Covid-19. – Malaysiapost

Komen