Sabri Yunus dinobat sebagai Duta Anak Seni Kelantan

Sabri Yunus dinobat sebagai Duta Anak Seni Kelantan

PELAKON dan pengarah, Sabri Yunus dinobatkan sebagai Duta Anak Seni Kelantan sempena Malam Himpunan Dikir Barat 2022 di Kota Bharu, malam tadi.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata Sabri adalah antara 24 penerima anugerah membabitkan sembilan kategori yang dipertandingkan.

“Syukur alhamdulillah, pada malam ini saya dapat bersama-sama penggiat seni negeri Kelantan khususnya seni budaya dikir barat.

“Sebanyak sembilan kategori anugerah dipilih untuk dianugerahkan kepada 24 penerima,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, antara penerima lain termasuk Jen Endoro, Jali Bunga Tanjong, Cikgu Sulizi, Eyo Hock Seng, Hamid Budaya, Tok Wan Hasan Gula Batu, Tuan Kob Raja Saring dan lain-lain ikon dikir barat.

Katanya, kerajaan negeri yakin penganjuran Malam Himpunan dikir barat berjaya mencapai objektif dalam memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dikir barat yang telah mengharumkan nama negeri itu.

“Ia juga mengeratkan hubungan silaturrahim penggiat seni dikir barat seluruh Kelantan serta memartabatkan seni dikir barat sebagai warisan budaya Kelantan agar tidak hilang dan pupus.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa menyokong anak seni yang giat memartabat dan mempertahankan seni warisan budaya Kelantan,” katanya. – Malaysiapost

Komen