Segera kerja bersih, dalamkan sungai – Tengku Hassanal

Segera kerja bersih, dalamkan sungai – Tengku Hassanal

PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah supaya kerja pembersihan dan mendalamkan sungai serta saliran cetek akibat banyak berlaku mendapan ekoran musibah banjir yang berlaku di seluruh negeri ini, segera dilaksanakan.

Baginda menitah, kerajaan negeri dan Persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) perlu bekerjasama melaksanakan kerja tersebut sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut hujung tahun ini.

“Kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai ini juga perlu dilakukan bukan sahaja di kawasan Janda Baik, malah di semua sungai dan saliran yang telah cetek dan banyak mendapan di seluruh Negeri akibat kejadian banjir tersebut,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Tengku Hassanal juga berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di kawasan Janda Baik, Bentong semalam.

“Selain menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir, saya juga melawat kawasan banjir dan mendengar persembahan taklimat tentang tindakan susulan segera tebatan banjir bagi mengurangkan risiko banjir.

“Saya mengambil maklum hujan lebat luar biasa pada 11 Mei lalu dengan kelebatan 87.5 milimeter selama tiga jam bermula pukul 4 pagi di Bentong mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Kampung Janda Baik, Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh, dan Kampung Lampin,” katanya.

Justeru, Tengku Hassanal turut bertitah agar disegerakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong, termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik. – Malaysiapost

Komen