Tawaran berlakon Rita mencurah-curah walaupun tidak vaksin

Tawaran berlakon Rita mencurah-curah walaupun tidak vaksin

MESKIPUN tidak menerima vaksin Covid-19, pelakon Rita Rudaini bersyukur berikutan masih lagi menerima pelbagai tawaran berlakon ketika fasa peralihan endemik ini.

Menurut pelakon berusia 47 tahun itu, dia tetap percaya dengan rezeki tuhan untuknya walaupun dihimpit kontroversi kerana menolak untuk menerima vaksin Covid-19 sebelum ini.

“Kalau itu sudah tertulis rezeki saya, saya tak tolak rezeki dari Allah. Nak beritahu sikit kepada netizen-netizen yang panas punggung lagi busuk hati itu. Sebelum puasa pun dah ramai penerbit yang mesej ajak masuk semula set penggambaran tapi saya tolak cara baik.

“Sebab, saya ada benda lain yang perlu diselesaikan dan perlu diberi perhatian. Tak payah goyang lah dengan saya. Saya ini biasa-biasa saja bukan lawan engkau orang. Sebab itulah Tuhan selalu lindungi saya dan anak-anak dengan hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling saya.

“Rupanya ramai yang busuk hati dengan saya. Percaya sahajalah dengan rezeki Allah SWT. Dia datangkan dari pelbagai sudut dan pelbagai rupa. Alhamdulillah atas nikmat-Nya,” katanya menerusi Insta Story.

Kelmarin, tular berita mengenai kenyataan penerbit drama Fadzil Teh yang mengumumkan Rita bakal kembali berlakon dalam sebuah karya terbitan Zeel Production.

Menurut Rita, tawaran itu masih belum diterimanya dan dalam peringkat perbincangan.

Jelas Rita, berita itu sengaja diperbesarkan kerana menyedari ada golongan artis dan pelakon yang tidak senang dengan pengumuman oleh Fadzil atau Haji Zil itu yang telah pun tular semalam.

“Nampaknya dah ada artis yang berbunyi apabila ada beberapa produksi cari saya. Awat? Takut kena Covid-19 dari saya yang tak vaksin katanya. Sebelum ini, dia kena Covid-19 di set dari siapa?

“Satu set kena daripada siapa? Bukankah sudah berdos-dos cucuk vaksin? Alhamdulillah, saya yang tak ada dos masih sihat dengan izin Allah SWT dan tak pernah kena setakat ini. Alhamdulillah.

“Hj Zil, bagi sahajalah watak saya itu kepada artis yang bising-bising itu. Mungkin baru akan senyap sikit,” sinisnya. – Malaysiapost

Komen