Gaji CEO tinggi: ‘Sapura syarikat swasta sebelum 2018, bukan GLC’ – Najib

Gaji CEO tinggi: ‘Sapura syarikat swasta sebelum 2018, bukan GLC’ – Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah menduga isu berkaitan gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Berhad dan pampasan yang diterima syarikat berkenaan, menjadi ‘peluru’ kepada pembangkang.

Menurut Najib, pembangkang yang menggunakan dua isu itu untuk terus menghasut rakyat, tidak menyedari Sapura adalah sebuah syarikat swasta dan bukan GLC sebelum 2018.

“Dah jangka geng sebelah sana (melalui media parti PAN) akan teruskan permainan emosi dan hasutan tentang gaji serta pampasan bekas CEO Sapura Energy pada tahun 2018.

“Selain pernah menjadi CEO, dia juga pengasas dan antara pemilik terbesar Sapura Energy masa gaji serta pampasan itu dibayar pada tahun 2018.

“Pada tahun 2018, Sapura belum jadi GLC dan merupakan syarikat swasta di mana bekas CEO adalah pemegang saham terbesar. Kerajaan tak tentukan gaji serta pampasan syarikat swasta sebab lembaga pengarah syarikat swasta yang luluskan,” katanya di Facebook, hari ini.

Najib menjelaskan, sebagai pengasas, CEO Sapura juga yang pernah membina syarikat itu menjadi MNC yang kedua terbesar di dunia dalam sektor mereka dengan nilai RM30 bilion.

Mengenai pampasan yang dibayar Sapura, Najib berkata, kerajaan tiada hak ‘kacau’ atau menentukan nilai pampasan yang dibayar oleh syarikat swasta itu kepada pengurusan dan pemilik saham mereka.

“Pampasan RM71.92 juta itu bukan sahaja merupakan gaji tetapi termasuk bayaran lain seperti dividen, sewa (Sapura Energy sewa beberapa premis dari dia), bonus bagi pelan kompensasi bagi tempoh lalu (Sapura pernah untung berbilion ringgit setahun pada tahun 2014 dan 2015) dan juga ganti rugi sebab bekas CEO disuruh bank untuk jamin hutang bernilai lebih RM18 bilion secara peribadi masa itu.

“Pada tahun 2018 itu, gaji serta pampasan bekas CEO Sapura berjumlah RM71.92 juta bukan paling tinggi. Paling tinggi ialah CEO Genting yang dibayar RM248.61 juta pada tahun itu.

“Adakah usahawan Genting boleh dibayar pampasan besar tapi usahawan Sapura tidak boleh?” jelas Najib yang turut menyertakan pautan untuk menguatkan kenyataannya.

Najib yang merupakan Ahli Parlimen Pekan menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana masih meneruskan menyuntik RM2.7 bilion kepada Sapura walaupun mengetahui nilai pampasan besar tersebut.

“Jika sudah tahu pampasan tahun 2018 dia tinggi, kenapa pula PNB di bawah kerajaan PH masih teruskan untuk suntik RM2.7 bilion pada tahun 2019 untuk menjadi pemilik saham terbesar Sapura?

“Masa PNB suntik dana tambahan sebanyak RM2.7 bilion itu pada tahun 2019, bekas CEO ini turut suntik RM500 juta dana sendiri ke dalam Sapura.

“Dia juga telah bersara pada bulan Mac 2021 dan diganti oleh pengurusan serta lembaga pengarah baharu. Buatlah audit forensik ke atas Sapura jika syaki ada salah urus atau penyelewengan,” katanya.

Najib juga menegaskan, beliau tidak pernah menolak cadangan audit forensik seperti yang dikemukakan Anwar dalam Debat Perdana tempoh hari.

“Saya tak pernah tolak audit forensik dan pernah suruh kerajaan siasat sepuas-puasnya sebab saya tak ada kepentingan mempertahankan bekas CEO tersebut.

“Dan adakah kita patut biarkan Sapura dengan 10,000 pekerja serta ekosistem vendor minyak dan gas negara hancur hanya sebab seorang bekas CEO yang sudah tinggalkan pengurusan syarikat tersebut pernah menerima gaji dan pampasan yang tinggi pada masa dahulu?” katanya.

Najib yang konsisten dengan idea Sapura perlu dibantu bagi memulihkan kewangan syarikat itu mempersoalkan adakah PH mahu syarikat itu muflis atau terlepas ke tangan pihak lain.

“Adakah dengan menimbulkan perasaan dengki dan emosi terhadap seorang bekas pengurusan, kita jangan selamatkan pelaburan PNB sebanyak RM5 bilion.

“… dan kita biarkan satu-satunya MNC milik Malaysia dan Bumiputera bertaraf global dalam sektor minyak dan gas hancur dan dilepaskan kepada tangan asing pada ketika harga minyak dunia kembali tinggi?

“Itulah PH. Main emosi dan hasut tapi langsung tak selesaikan masalah atau melihat kepada kebaikan dan kepentingan negara secara menyeluruh.

“Negara tak dapat apa-apa sekiranya syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar negara serta kedua besar dalam dunia hancur. Akhirnya, negara dan Rakyat juga yang hilang,” katanya. -Malaysiapost

Komen