Klopp legenda sepanjang zaman pengurus Liverpool

Klopp legenda sepanjang zaman pengurus Liverpool

JURGEN Klopp menjadi pengurus Liverpool yang pertama melengkapkan siri kejuaraan pertandingan domestik, eropah serta dunia.

Kejayaan Liverpool menjuarai Piala FA tahun ini membolehkan pengendali yang berasal dari Jerman itu menyempurnakan satu-satunya kejuaraan yang dia belum pernah menangi bersama The Reds.

Menerusi sidang media sebelum perlawanan akhir menentang Chelsea berlangsung, Klopp menjelaskan dia berpeluang untuk menyertai Bayern Munich dan memenangi lebih banyak kejuaraan di Jerman, namun dia lebih suka meraih kejuaraan dengan cabaran yang dihadapi.

“Saya ada beberapa kali mendapat peluang untuk mengendalikan Bayern Munich dan boleh memenangi lebih banyak piala di sana.

“Namun saya ada kontrak di sini dan saya terus kekal. Saya tidak akan pernah pergi.

“Dunia ini bukan dipenuhi oleh pemenang sebaliknya dipenuhi dengan mereka yang mencuba. Lalu saya memilih untuk mencuba untuk menang,” katanya.

Ini adalah kali ketiga Klopp menang final ke atas Chelsea selepas Piala Super Eropah, Piala Liga dan kini Piala FA.

Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley itu menyaksikan anak buah Thomas Tuchel sekali lagi tunduk kekecewaan apabila buat kali kedua dalam satu musim, tewas di perlawanan akhir kepada pasukan yang sama melalui cara yang sama.

Seperti final Piala Liga Carabao Februari lalu, jalan cerita sama terpaksa dilalui kedua-dua pasukan pada final ini apabila buntu tanpa jaringan sehingga 120 minit.

Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan lima kali penalti dan tuah nyata milik Jordan Handerson dan rakan-rakannya apabila menjulang Piala FA setelah menang dengan keputusan 6-5.

Kostas Tsimikas menjadi wira dalam sepakan penentuan itu selepas Alisson Becker menghalang percubaan Mason Mount. – Malaysiapost

Komen