PAU Khas: ‘Semoga ia mencatat sebuah lagi episod kegemilangan buat Umno’ – Zahid

PAU Khas: ‘Semoga ia mencatat sebuah lagi episod kegemilangan buat Umno’ – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap persidangan perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas Umno 2022 hari ini, sebagai jambatan mengeratkan ukuwah parti itu.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga berharap detik bersejarah hari ini bakal mencatat episod kegemilangan parti berkenaan.

“Saya dengan penuh takzim mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan pada Perhimpunan Agung Khas Umno 2022.

“Semoga detik bersejarah ini mencatat sebuah lagi episod kegemilangan buat parti keramat agama, bangsa dan negara,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua pada Sambutan Hari Umno Ke-76 selepas selesai perhimpuan agung khas berkenaan.

“Bersama jadikan perhimpunan dan sambutan kali ini sebagai jambatan untuk mengeratkan lagi ukhwah sesama kita.

“Jadikan ia sebagai lambang perpaduan dan kemuafakatan kita. Bersatu teguh bercerai roboh,” katanya.

Hari ini, satu lagi sejarah bakal tercatat dalam tempoh 76 tahun penubuhan Umno apabila parti itu akan meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan parti diadakan enam bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pindaan perlembangaan itu akan dibuat pada Perhimpunan Agung Khas Umno di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang dihadiri lebih 2,000 perwakilan.

Terdahulu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Mohd Sumali Reduan memaklumkan, perhimpunan pada 2 petang itu akan dimulakan dengan ucapan Ahmad Zahid sebagai presiden parti itu.

Ia kemudian disusuli pembentangan usul pindaan perlembangaan parti oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum diserahkan kepada para perwakilan untuk diputuskan namun tiada sebarang perbahasan akan diadakan. – Malaysiapost

Komen