PM: Malaysia gesa AS guna pengaruh selesai konflik Rusia-Ukraine

PM: Malaysia gesa AS guna pengaruh selesai konflik Rusia-Ukraine

MALAYSIA menggesa Amerika Syarikat (AS) menggunakan pengaruh mereka untuk mewujudkan pendamaian dalam konflik Rusia-Ukraine.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pendirian Malaysia itu dinyatakan dalam kemuncak Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat yang dipengerusikan oleh Presiden AS, Joe Biden, baru-baru ini.

Ismail Sabri berkata, beliau menegaskan Konflik Rusia-Ukraine juga memberi kesan ekonomi kepada negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Saya menyatakan pendirian mengenai konflik Rusia-Ukraine perlu diselesaikan secara damai, bukan dengan peperangan.

“Peperangan tidak memberi apa-apa kebaikan kepada mana-mana negara malah membawa penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa,” katanya menerusi kenyataandi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengutarakan pendirian mengenai isu Palestin yang telah berlarutan selama 74 tahun.

Katanya, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya secara jujur menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan isu ini secara tuntas.

“Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh terus berleluasa.

“Negara Palestin perlu diwujudkan seperti yang terkandung di dalam resolusi PBB iaitu dengan persempadanan sebelum perang 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membangkitkan isu Palestin ini secara jelas,” katanya.

Mengenai isu Laut China Selatan, Ismail Sabri berkata, Malaysia berpendirian Laut China Selatan kekal sebagai kawasan bebas dari campur tangan kuasa besar dan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas.

“Malaysia tidak mahu terdapatnya provokasi kuasa besar di Laut China Selatan,” katanya.

Dalam sidang sama, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga mahu isu Myanmar diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan kepada ‘5 points consensus.’

“Malaysia menekankan tentang isu pelarian Myanmar dan mahu bantuan Amerika Syarikat supaya mengambil mereka untuk dipindahkan ke negara lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen