‘Tun M bukan saja pinda Perlembagaan Umno, malah Perlembagaan Persektuan’

‘Tun M bukan saja pinda Perlembagaan Umno, malah Perlembagaan Persektuan’

PEMIMPIN Umno mengingatkan bekas Presidennya, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bukan kali pertama perlembagaan parti itu dipinda.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan, berkata Umno telah beberapa kali meminda perlembagaannya termasuk ketika era pentadbiran Mahathir.

“Ini bukan kali pertama pindaan perlembagaan Umno telah dilakukan.Semenjak 1987 hingga kini, pindaan perlembagaan berkaitan pemilihan parti telah dilakukan tiga kali.

“Tahun 1987, ketika Tun (Mahathir) menjadi Presiden Umno sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden diperkenalkan.

“Adakah bermaksud kepimpinan waktu itu tak hormat perlembagaan parti?,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pada tahun 1998 ketika Mahathir masih lagi Presiden Umno sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti diperkenalkan.

Terdahulu Mahathir berkata pindaan Perlembagaan Umno bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum sebagai tidak menghormati perlembagaan sendiri.

Semalam Umno berjaya meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan selama enam bulan selepas PRU.

Cadangan pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara membabitkan kira-kira 2,58O perwakilan seluruh negara.

Usul berkenaan dicadangkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin yang kemudiannya disokong oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno.

Mengulas lanjut Shahril mengingatkan Mahathir bukan saja Perlembagaan Umno dipinda ketika beliau menjadi Presiden, malah pindaan Perlembagaan Persekutuan juga turut dipinda oleh Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Kali pertama Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri. Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 23 kali. Termasuk tahun 1988 di mana terjadinya krisis perlembagaan.

“Kali kedua Tun menjadi Perdana Menteri, perlembagaan dipinda satu kali. Adakah ini juga bermaksud tak hormat perlembagaan negara sendiri?,” soalnya lagi- Malaysiapost

Komen