Ebit Lew jadi ‘Mat Rempit’, selami jiwa anak muda

Ebit Lew jadi ‘Mat Rempit’, selami jiwa anak muda

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew menyelami kehidupan ‘Mat Rempit’ dalam usaha dakwahnya bagi mendekati kumpulan berkenaan, malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Ebit berkata, beliau juga berkesempatan ‘ride’ motosikal di sekitar Kuala Lumpur bersama pensohor TikTok, Akiem Stopa dalam misi mencari anak muda sehingga jam 2 pagi tadi.

“Malam tadi ‘ride’ motor pusing KL dengan Akiem Stopa cari anak muda sampai 2 pagi di KL. Baik-baik semuanya. Lembut hati.

“Bila tengok anak muda bawa motor sana sini kadang orang panggil Mat Rempit,” tulisnya dalam hantaran itu.

Menurut Ebit, ujian hidup setiap individu adalah berbeza dan di sebalik imej Mat Rempit mereka semua adalah individu yang rajin mencari rezeki untuk menyara kehidupan.

“Tapi di sebaliknya mereka anak-anak kita, adik-adik kita semuanya. Rajin cari rezeki buat keluarga. Nasib semua orang tak sama. Ujian hidup berbeza.

“Semua baik jer dengar nasihat khusuk je. Last belanja makan ikan singgang. Semua azam nak ikut tiga hari di jalan Allah belajar iman.

“Kita ada Allah. Adik-adik teruskan usaha jangan putus asa. Siapa tahu rezeki apa Allah sediakan di masa hadapan. Syukur dan hargai hidup kuncinya. Jaga solat. Jaga mak ayah buat mereka tersenyum InsyaAllah hidup adik semua bahagia,” katanya.

Dalam hantaran sama, Ebit berkata, beliau juga berkesempatan ‘pusing’ di sekitar Datran Merdeka dan mengakui suasana malam di kawasan itu sangat meriah dan cantik dengan kehadiran warga kota beriadah.

“Pusing dataran Merdeka meriah. Ramai anak muda. Ramai juga bawa keluarga main skuter. Best juga dapat try. Cantik view malam-malam,” katanya.

Baru-baru ini, Ebit mengunjungi Jakarta, Indonesia bagi menggerakkan misi kemanusiaan dan dakwah termasuk mendekati golongan gelandangan dan anak muda ‘punk’ di negara berkenaan. – Malaysiapost

Komen