Kes penularan HFMD meningkat 349 peratus dalam tempoh seminggu

Kes penularan HFMD meningkat 349 peratus dalam tempoh seminggu

SEHINGGA hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 iaitu 14 Mei 2022, sejumlah 31,661 kes penularan jangkitan penyakit berjangkit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 kali ganda berbanding pada tahun 2021 sehingga ME yang sama, iaitu hanya mencatatkan 2,121 kes.

Beliau berkata, kes yang dilaporkan pada ME 19/2022 adalah 7,526 kes berbanding ME 18/2022 iaitu hanya 1,676 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 349 peratus.

“Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 8,864 kes (28 peratus), diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya 4,421 kes (14 peratus), Sabah 2,650 kes (8 peratus), Perak 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan 2,493 kes (7.9 peratus) sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 1,500 kes.

“Sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak membabitkan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus), dan Perak 105 wabak (12 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika/ taska/ pra-sekolah iaitu 575 wabak (65 peratus), diikuti rumah persendirian dengan 305 wabak (34 peratus), dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (3 peratus).

Katanya, wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

“Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94 peratus), diikuti oleh kumpulan umur tujuh hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes (5 peratus).

“Penyakit HFMD ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran. Penyakit ini cepat menular dengan kadar jangkitan hampir 100 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun, terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska, tadika atau sekolah,” katanya.

Beliau berkata, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika, dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran.

“Selain itu, KKM telah mengambil langkah yang proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru semakan status penyakit berjangkit di kawasan sekitar (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit Covid-19, Anjing Gila (Rabies), Demam Campak (Measles), Denggi, dan HFMD di kawasan sekitar.

“Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menyemak status titik merah dan pelaporan kes-kes penyakit berjangkit di sesebuah kawasan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 1,074 kes denggi dikesan pada ME 19/2022, menunjukkan peningkatan 365 kes (51.5 peratus) dari jumlah kes yang dilaporkan pada ME 18/2022 (709 kes).

Menurutnya, jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan tahun ini sehingga kini adalah 14,725 kes berbanding 10,139 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 4,586 kes (45.2 peratus).

“Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga ME 19/2022 adalah sebanyak sembilan kematian, peningkatan empat kematian (80 peratus) berbanding dengan kematian lima kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021,” katanya. – Malaysiapost

Komen