Pan Gon panggil semula de Paula

Pan Gon panggil semula de Paula

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Guilherme de Paula dipanggil semula menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis ini.

Ia bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun 2022.

Disusuli tiga perlawanan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh dari 8 hingga 14 Jun di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

De Paula tidak dipanggil oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon ketika aksi persahabatan antarabangsa Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura pada Mac lalu.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut menyenaraikan dua lagi pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Secara keseluruhan, Pan Gon mengekalkan 20 pemain daripada senarai 25 yang dibawa ke Singapura pada Mac lalu dengan tiga pemain – Aidil Zafuan Abd Radzak, Ramadhan Saifullah Usman dan Zhafri Yahya diletakkan dalam senarai bersedia.

Dua lagi pemain – Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng kini bersama skuad B-23 kebangsaan di Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Sembilan pemain baharu yang dipanggil kali ini ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Junior Eldstal, Norshahrul Idlan Talaha.

Turut tersenarai ialah Syahmi Safari dan Darren Lok yang tidak dapat bersama pada kem latihan pusat, Mac lalu serta Nazmi Faiz Mansor.

Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hanya 23 pemain akan didaftar dalam senarai pendaftaran akhir bagi menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Baki 17 pemain lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan pada senarai akhir tersebut. – Malaysiapost

Komen