Sukan SEA: Raih 3 emas semalam, Malaysia jatuh ke tempat keenam

Sukan SEA: Raih 3 emas semalam, Malaysia jatuh ke tempat keenam

KONTINJEN Malaysia kini menduduki tangga keenam dalam carta pungutan pingat temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam yang memasuki hari kesembilan hari ini.

Ia selepas kontinjen negara hanya meraih tiga pingat emas, masing-masing dalam acara pencak silat, gimnastik dan olahraga semalam.

Secara keseluruhan Malaysia kini mengumpul 19 emas, 24 perak dan 44 gangsa untuk berada di kedudukan keenam, turun satu tangga dari tempat kelima, semalam.

Selaku tuan rumah, Vietnam jauh di hadapan seterusnya mengekalkan kedudukan sebagai pendahulu setelah mengumpul 88 emas, 54 perak dan 55 gangsa.

Ia diikuti Thailand di tempat kedua 36-38-53, Filipina 30-34-44, Singapura 24-25-30 dan Indonesia di tempat kelima dengan 23-36-30.

Dalam saingan semalam, gelanggang silat menyumbang pingat emas pertama buat negara menerusi Muhammad Khairi Adib Azhar dalam final silat tanding kelas B Lelaki (50-55kg).

Srikandi silat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir, Siti Shazwana Ajak dan Billage Nakang masing-masing menyumbang pingat perak.

Di Pusat Gimnasium Quan Ngua, gimnas artistik wanita negara Rachel Yeoh Li Wen cemerlang apabila meraih emas kedua peribadi pada temasya kali ini menerusi acara titian imbangan.

Dia sebelum ini meraih emas acara palang bertingkat, dan gangsa bagi acara all-around individu.

Atlet lompat bergalah wanita, Nor Sarah Adi pula mencipta kejutan dengan meraih emas sekali gus menamatkan kemarau emas 11 tahun bagi Malaysia dalam acara tersebut.

Kuartet 4x100m lelaki negara dibarisi Muhammad Azeem Mohd Fahmi, Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Zulfiqar Ismail dan juara bertahan acara 100m lelaki Muhammad Haiqal Hanafi turut mempamer aksi terbaik apabila merangkul perak dengan memecahkan rekod kebangsaan acara itu.

Setelah 11 tahun kemarau pingat, skuad berbasikal bukit wanita negara hadiahkan satu pingat perak dan satu gangsa dalam acara Cross Country Olympic, menerusi Nur Assyira Zainal Abidin dan Natahsya Soon.

Perenang muda, Khiew Hoe Yean meraih dua perak masing-masing dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dan 200m kuak lentang lelaki Di Pusat Akuatik My Dinh.

Sukan menembak menyumbang perak menerusi Hafiz Adzha dalan acara 25 meter (m) Rapid Fire Pistol. – Malaysiapost

Komen