Ustaz Abdul Somad tuntut penjelasan disekat memasuki Singapura

Ustaz Abdul Somad tuntut penjelasan disekat memasuki Singapura

PENCERAMAH terkenal Indonesia Abdul Somad menuntut penjelasan Singapura berhubung sekatan yang dikenakan terhadapnya daripada memasuki negara republik itu.

Dalam satu temubual yang disiarkan di saluran YouTube, beliau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa menghalangnya memasuki negara itu apakah kerana terbabit dengan militan atau sebaliknya.

“Itulah yang mereka tak bisa menjelaskan (sebab sekatan), itu yang pengawal Imigresen tak bisa menjelaskan.

“Jadi, yang bisa menjelaskan kedutaan Singapura di Jakarta. Anda harus menjelaskan kepada komuniti, kenapa negara anda, kerajaan anda menolak kami.

“Kenapa? Apakah kerana ‘terrorist’ apakah kerana ISIS, apakah bawa narkoba (dadah)? perlu jelaskan,” katanya dalam wawancara di saluran YouTube Hai Guys Official.

Terdahulu di laman sosial Instagramnya Abdul Somad menceritakan detik bagaimana dia ditahan di satu ruang kecil oleh pihak berkuasa Singapura.

Beliau dilaporkan ditahan daripada memasuki Singapura semalam ketika tiba untuk bercuti di negara itu bersama keluarganya.

Bagaimanapun, Duta Indonesia ke Singapura Suryopratomo memberitahumedia Indonesia Tempo Abdul Somad tidak diusir tetapi dilarang masuk ke republik itu.

“Dia tidak diusir tetapi tidak mendapat kebenaran masuk ke Singapura jadi dia diminta pulang (ke Indonesia),” kata Suryopratomo.

Menceritakan pengalamannya ditahan pihak berkuasa Singapura, Abdul Somad berkata dia ditahan dalam bilik sempit selama satu jam.

“Saya dimasukkan ke dalam satu ruangan umpama liang lahad…satu jam saya diruang kecil itu barulah digabungkan di ruang yang ramai bersama yang lain,” katanya. – Malaysiapost.

Komen