Alasan tiada tempat simpanan air tak boleh diterima – Syed Saddiq

Alasan tiada tempat simpanan air tak boleh diterima – Syed Saddiq

KENYATAAN kerajaan PAS Kelantan bahawa negeri itu tiada tempat simpanan air bersih yang mencukupi, tidak boleh diterima sama sekali, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata isu air di Kelantan sepatutnya telah selesai memandangkan PAS mentadbir negeri itu sejak 1990.

“Jadi maksudnya, dalam tempoh lebih 30 tahun – Kerajaan PAS Kelantan masih tidak berupaya untuk memulihkan masalah air bersih di Kelantan.

“Yang kedua, PAS tidak ada alasan sebab PAS adalah exco negeri Kelantan, kerajaan negeri dan kerajaan Pusat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Syed Saddiq berkata, jika PAS pembangkang, beliau faham banyak halangan untuk berkhidmat kepada rakyat, namun PAS kini adalah sebahagian daripada kerajaan malah Menteri Air adalah Timbalan Presiden PAS.

“Paling penting, alasan tak ada tempat yang cukup untuk menyimpan air bersih adalah alasan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, media melaporkan sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan sehingga melebihi keperluan sedia ada.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tiada tempat simpanan air yang sesuai sehingga sumber air yang ada di negeri itu tidak dapat dimanfaatkan. – Malaysiapost

Komen