Banyak pesakit perlu guna kanabis untuk tujuan perubatan

Banyak pesakit perlu guna kanabis untuk tujuan perubatan

KERAJAAN harus mengiktiraf bahawa banyak pesakit di Malaysia yang perlu menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddid Abdul Rahman.

Pengerusi Kaukus Medical Marijuana itu berkata mereka bukan kumpulan yang mengedar kanabis untuk mengaut keuntungan wang semata-mata.

Katanya lagi, sudah tiba masanya Malaysia mengikut langkah lebih 40 negara dalam mengiktiraf kanabis sebagai alternatif perubatan.

“Langkah yang diambil di negara lain ini juga perlu dilihat sebagai dorongan untuk kumpulan kesihatan Malaysia menawarkan perubatan alternatif ini dengan segera.

“Malah, badan kesihatan dunia seperti World Health Organisation (WHO) juga mengiktiraf penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan ini sebagai alternatif kepada pesakit,” katanya hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Mahkamah Petaling Jaya bagi mengikuti sebutan semula kes melibatkan penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman.

Yasin berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium, Mac lalu.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata beliau telah berjumpa dan berbincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan isu tersebut.

“Antara yang saya tegaskan adalah memberi kuasa kepada Jabatan Peguam Negara untuk memberi pertimbangan lebih tinggi dalam isu penggunaan kanabis.

“Malah, hakim-hakim perlu diberi lebih kuasa dan kelonggaran dalam menilai kes-kes berkaitan penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Ini kerana kita perlu mengendalikan kes-kes ini dengan cermat supaya pesakit yang terpaksa
menggunakan kanabis untuk tujuan perubatan diberi kelonggaran sewajarnya dengan tujuan penggunaan mereka,” katanya.

Tambahnya, hukuman gantung terlampau berat kepada pesakit hanya kerana masalah kesihatan yang memerlukan mereka untuk mencari perubatan alternatif seperti kanabis dan hem.

Katanya, tindakan pesakit mencari perubatan alternatif tidak boleh sesekali disamakan dengan jenayah bunuh misalnya – apabila hukuman gantung dikenakan.

“Saya akan mengikuti perkembangan kes saudara Yasin dari masa ke semasa. Malah saya akan terus berhubung rapat dengan keluarga beliau.

“Kes mahkamah saudara Yasin ini sudah pasti akan menjadi satu rujukan untuk Ahli-Ahli Parlimen seperti saya dalam usaha untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan penggunaan kanabis dan hem untuk tujuan perubatan,” katanya. – Malaysiapost

Komen