Dr Wan Zawawi meninggal dunia

Dr Wan Zawawi meninggal dunia

AHLI akademik, seniman dan aktivis sosial, Dr Wan Zawawi Wan Ibrahim, 75, meninggal dunia jam 6.47 pagi tadi kerana serangan jantung.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di rumah mereka di Seksyen 11, Petaling Jaya semasa sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh.

Isterinya, Noorshah Mohd Salleh berkata pemergian suaminya secara tiba-tiba memang tidak disangka kerana baru semalam mereka berdua berbual dan bercerita mengenai hasrat Allahyarham untuk meneruskan rawatan susulan sakit jantung.

“Baru semalam kami menonton televisyen bersama dan kami berbincang untuk membawa arwah menjalani rawatan susulan jantung.

“Namun, saya redha dan percaya bahawa ajal arwah sudah sampai,” katanya seperti dilapor Astro Awani.

Menurut Noorshah, jenazah Allahyarham suaminya akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara. – Malaysiapost

Komen